Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh menerima cenderamata daripada EXCO Usahawan Mohd Najwan Halimi (kanan) pada majlis Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 25 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor antara kuasa utama landskap perniagaan dalam talian

PETALING JAYA, 26 MEI: Penganjuran Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) menjadikan Selangor antara kuasa utama dalam landskap perniagaan dalam talian negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata pencapaian itu menjadikan Selangor sebagai hab inovasi digital sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Inisiatif strategik negeri dan sokongan kepada perdagangan digital telah menjadikan Selangor sebagai kuasa utama dalam landskap e-dagang negara.

“Revolusi digital secara asasnya telah mengubah perniagaan dan Malaysia berada di barisan hadapan dalam transformasi ini,” katanya ketika merasmikan majlis anugerah berkenaan malam tadi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh (tiga, kanan) dan EXCO Usahawan Mohd Najwan Halimi (tiga, kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama,kedua dan ketiga pada majlis Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 25 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Anugerah Top ECM 2024 memasuki edisi kesembilan memberi pengiktirafan kepada peniaga e-dagang dengan lebih 1,000 penyertaan diterima Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) pada tahun ini.

Program yang menawarkan ganjaran sehingga RM100,000 itu juga berjaya merekodkan nilai barangan kasar (GMV) RM109 juta menerusi 2.4 juta pesanan jualan.

Pengusaha pakaian wanita Zucca Commerce Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi serta sijil penyertaan.


Pengarang :