Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh (belakang, 10 kanan) dan EXCO Usahawan Mohd Najwan Halimi (belakang, tengah) bersama pemenang pada majlis Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 25 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Anugerah peniaga e-dagang 2024 terima lebih 1,000 penyertaan

PETALING JAYA, 26 MEI: Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2024 menarik lebih 1,000 penyertaan dengan peningkatan 43.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

EXCO pemberdayaan usahawan berkata acara tahunan edisi kesembilan yang menawarkan ganjaran sehingga RM100,000 itu merupakan bukti usaha gigih Kerajaan Negeri meningkatkan sektor e-dagang.

“Top ECM bukan sekadar acara tetapi ia adalah bukti usaha gigih Kerajaan Negeri untuk terus melakukan inovasi dan meningkatkan kecemerlangan e-dagang di Selangor.

“Saya melihat Sidec telah memberikan komitmen penuh untuk memajukan ekosistem e-dagang yang semakin berkembang di seluruh dunia,” kata Najwan Halimi pada majlis penyampaian anugerah tersebut malam tadi.

Majlis anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop.

Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi Zuca Commerce Sdn Bhd, Erica Yap (tengah) bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gary Yap (kanan) dan Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi, Minton Yap memenangi tempat pertama Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 25 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengusaha pakaian wanita Zucca Commerce Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi Place SLL Machinery Hardware Sdn Bhd dan Desince Sdn Bhd (ketiga) dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan RM5,000 serta trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Zucca Commerce Sdn Bhd Erica Yap ketika ditemui berkata kemenangan pihaknya akan menjadi batu loncatan untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

“Kami memang memberi penekanan terhadap perniagaan secara dalam talian dan setiap hari kami membuat siaran langsung tanpa putus asa di hampir semua platform e-dagang.

“Hasilnya kami berjaya peroleh sehingga 4,000 tontonan dalam satu hari. Kami berimpian untuk meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” katanya yang memulakan perniagaan dua tahun lalu.


Pengarang :