BERITA UTAMASELANGOR

Kediaman rasmi MB jadi lokasi program penghayatan Islam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 akan dimanfaatkan sebagai lokasi Program Penghayatan Islam secara dwibulanan bermula Julai ini.

Program anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dibawah Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam turut dilangsungkan sepanjang Ramadan pada minggu kedua dan keempat bulan ini.

Ia bakal menampilkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nik Omar Nik Aziz dan Ustaz Ahmad Fawwaz Fadzil selaku penceramah tetap.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program ini dianjurkan bagi memperkukuh penghayatan dan mengamalkan nilai Islam dalam pentadbiran.

“Sudah pasti sepanjang Ramadan semua sibuk antaranya jelajah berbuka puasa DYMM Sultan Selangor dan inilah kesempatan yang ada untuk saya bersama penjawat awam dan ketua jabatan.

“Objektif program ini bagi memperkukuhkan kefahaman Islam dan nilai-nilai murni termasuk dalam pemerintahan kita.

“Kita perlu memperkukuh nilai integriti, amanah dan berbuat baik dalam melaksanakan amanah. Saya percaya nilai yang disebut dapat diterjemahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Anak Syarikat Peringkat Negeri Selangor 2019.

Kesempatan ini, Amirudin turut meluangkan masa berbuka puasa dengan pegawai tertinggi jabatan kerajaan serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.


Pengarang :