Hanya 20 peratus anggota dibenar cuti Aidilfitri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Hanya 20 peratus anggota dibenar cuti Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat membenarkan 20 peratus daripada lebih 14,000 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, seperti tahun terdahulu, anggota selebihnya akan bertugas pada musim perayaan ini berdasarkan syif kerja ditetapkan.

“Seperti kebiasaan JPBM tidak berikan cuti lebih daripada 20 peratus, bermakna pegawai dan anggota yang telah bercuti tahun lepas tak boleh bercuti tahun ini. Kita sudah tetapkan begitu juga di balai operasi di mana setiap kakitangannya adalah mencukupi untuk bertugas pada perayaan nanti.


“Kami juga akan mengadakan rondaan di lokasi-lokasi tertentu selain mempergiatkan lebih banyak kempen tentang keselamatan terutama sekali berkenaan kebakaran sempena musim perayaan ini,” katanya selepas ditemui pemberita pada sidang forum media ‘Smart Home, Safe Home’ di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, pegawai kanan yang pulang bercuti di kawasan kampung halaman masing-masing juga perlu singgah ke balai bomba terdekat bagi memberikan motivasi buat anggota yang bertugas selain menyemarakkan suasana perayaan.

Dalam perkembangan lain, Hamdan turut mengulas mengenai sejumlah 495 daripada 1,267 pusat tahfiz berdaftar seluruh negara yang didapati tidak menepati kriteria ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta berdepan risiko kebakaran seperti dilaporkan April lalu.

“Kami belum ada maklumat sama ada kesemua 495 pusat tahfiz yang berdepan risiko kebakaran itu telah kembali mematuhi kriteria ditetapkan tapi saya percaya proses itu sedang berjalan kerana mereka sedar ia sesuatu yang amat penting untuk dititik beratkan,” katanya.

Semua 495 pusat tahfiz terlibat telah diberikan notis selama tiga bulan bagi mematuhi kriteria. ditetapkan jabatan itu.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati hanya 772 pusat tahfiz menepati kriteria ditetapkan termasuk seperti menyediakan laluan bagi memudahkan pelajar menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran, penyediaan pintu kecemasan dan memastikan tempat memasak adalah berasingan dengan asrama pelajar.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next