SELANGORSUKANKINI

Pengulas terbaik serikan aksi akhir kejohanan siber Piala Duduk Rumah

SHAH ALAM, 8 APRIL: Tiga pengulas ditampilkan untuk aksi akhir Kejohanan Permainan Siber Selangor (SCG) 2020 Mobile Legend Bang Bang (MLBB) yang dijadualkan berlangsung esok 9 pagi bagi merebut Piala Duduk Rumah.

Barisan pengulas dalam perlawanan akhir yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook IO Esports adalah Ikuto00, CortX Kaki Game dan ChuChu Gaming.

“Ikuto00, CortX Kaki Game dan ChuChu Gaming akan membawakan pengulasan yang tergempak dan paling hype sekali untuk SCG 2020 MLBB – Piala Duduk Rumah! Adakah anda sudah bersedia untuk aksi-aksi mereka di SCG 2020 MLBB – Piala Duduk Rumah?,” kata IO Esports menerusi Facebooknya hari ini.

Bagi ulasan Bahasa Malaysia PUBG Mobile pula dibawakan oleh J Hunter dan Onthego Productions dengan peringkat akhir turut ditayangkan di Facebook sama pada jam 12 tengah hari.

Kejohanan Permainan Siber Selangor Edisi Piala Duduk Rumah selama dua hari menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 terhad kepada 512 slot sahaja dengan yuran penyertaan RM10 yang akan didermakan ke Tabung Covid-19 Selangor.

Anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor dan IO Esports dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor itu bagi menggalakkan orang ramai duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :