Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan Covid-19 rumah ke rumah, 500 penduduk Hulu Langat diperiksa

BANGI, 12 APRIL: Lebih 500 penduduk Hulu Langat disaring melalui pendekatan rumah ke rumah yang dimulakan Kerajaan Selangor semalam, kata ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan Selgate Corporation.

Noor Hisham Mohd Ghouth yang mengetuai operasi itu berkata saringan dibuat 48 petugas sukarelawan Selcare Clinic, sebuah anak syarikat kumpulan itu, yang terdiri daripada doktor, jururawat dan pembantu perubatan.

Beliau berkata pasukan itu, dinamai Petugas Gerakan Operasi Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor (Selcare), memfokuskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal, DUN Kajang dan DUN Dusun Tua.

Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 dari rumah ke rumah di Hulu Langat, pada 12 April 2020.  Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kawasan ini dipilih berdasarkan zon merah yang diklasifikasikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di sini hari ini.

Hadir sama, CEO Selgate Healthcare Dr Muaz Omar, Ketua Pegawai Operasi Selcare Clinic Mahdzir Ibrahim dan Pengarah Selcare Management Muhammad Azfizam Hamzah.

Bagi menjayakan saringan, pasukan itu dibahagi kepada 13 kumpulan sebelum bergerak pada 8 pagi dan berakhir jam 6 petang selama dua hari berturut-turut.

Selain itu, Noor Hisham turut mengakui sebahagian penduduk tidak mengetahui saringan seumpama itu dijalankan berikutan ia pertama kali dibuat di Malaysia.

“Namun, pasukan perubatan kami menerima reaksi positif daripada masyarakat memandangkan ia memberi kebaikan kepada penduduk,” katanya.

Pada 8 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan menjalankan saringan besar-besaran di zon merah bagi memerangi wabak dengan menyasarkan ujian terhadap 5,000 orang.

Sehingga jam 6 petang semalam, Hulu Langat mencatat kes tertinggi positif Covid-19 di negeri ini dengan merekodkan 382 kes, diikuti Petaling (338), Klang (163), Gombak (124), Sepang (56), Hulu Selangor (43), Kuala Selangor (29), Kuala Langat (26) dan Sabak Bernam (19).


Pengarang :