Pembantu Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Selangor Industrial Corporation, Md Fauzan Elham bercakap ketika Sesi Dialog Usahawan dan Agensi Selangor di Olive Tree Hotel, Pulau Pinang pada 10 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

SIC rancang wujud 200 pusat transit kumpul barang basah

BAYAN LEPAS, 12 SEPT: Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) berhasrat mewujudkan sebanyak 200 pusat transit (node) bagi pengumpulan barangan basah dalam jangka masa tiga tahun.

Pembantu Pengurus Besar Pembangunan Perniagaannya Md Fauzan Elham@Alhim berkata pusat berkenaan bertumpu di seluruh kawasan negeri ini khususnya Lembah Klang yang mempunyai penduduk ramai.

“Kita sudah membuat pengiraan bahawa Selangor memerlukan 200 node dengan penghantaran barangan basah meliputi jarak sejauh 10 hingga 20 kilometer (km) bagi setiap node.

“Pusat transit ini sama ada di kedai makan atau kedai runcit asalkan terdapat ruang yang mampu memuatkan dua peti sejuk beku iaitu satu untuk barangan basah seperti ikan, daging dan ayam manakala satu lagi peti penyejuk (chiller) bagi sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berucap dan berdialog bersama pempamer ketika Sesi Dialog Usahawan dan Agensi Selangor di Olive Tree Hotel, Pulau Pinang pada 10 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Beliau ditemui selepas sesi EXCO Usahawan bersama pempamer dan agensi Kerajaan Negeri sempena pameran dan persidangan dunia, hospitaliti, gaya hidup serta hiburan (WHOLE PENANG 2020) di Pusat Arena Spice Pulau Pinang semalam.

Pada masa sama, Md Fauzan berkata pihaknya juga membuka peluang kepada agensi, syarikat swasta mahupun orang ramai untuk menjadi rakan kongsi dalam membangunkan pusat transit berkenaan.

“Kita ada rancang dengan Hijrah Selangor dan Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor untuk memudahkan mereka (pihak berminat membina pusat transit) mendapat pinjaman dan kita akan bekalkan barang,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak lima pusat transit sudah dibangunkan iaitu di Subang Jaya, Cyberjaya dan Selayang manakala dua lagi di Shah Alam serta Kuala Selangor yang merupakan hab
transit.


Pengarang :