Exco Kerajaan Negeri Hee Loy Sian melawat gerai pameran selepas Perasmian Program Kesedaran Selamatkan Lapisan Ozon, Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Selangor anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor di Kolej Profesional Mara, Beranang pada 22 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Latih juruteknik servis amalan baik, hindar lepas bahan pemusnah ozon

BERANANG, 23 SEPT: Sektor penyejukbekuan dan penyamanan udara disaran melengkapkan juruteknik servis dengan amalan baik bagi mengelak pelepasan bahan pemusnah ozon hidrokloroflorokarbon (HCFC) ke atmosfera semasa aktiviti penyelenggaraan.

EXCO alam sekitar berkata ia selaras pelan pengurusan penghapusan HCFC fasa kedua bermula 2017 hingga 2021 yang menumpukan projek penukaran teknologi kepada bahan mesra ozon seperti siklopentana (bahan penebat atau pelarut).

“Setiap juruteknik servis terlatih perlu mendapat pentauliahan daripada pusat latihan dibenarkan yang diiktiraf Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Jadi kita harapkan industri ini dapat memainkan peranan memastikan kumpulan terlibat memiliki alat untuk ambil dan simpan gas dengan tidak melepaskan ke udara yang akan memusnahkan ozon,” kata Hee Loy Sian.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Kesedaran Selamatkan Ozon sempena Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Selangor di Kolej Profesional Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini semalam.

Loy Sian menambah Kerajaan Negeri komited dalam menghapuskan dan mengawal penggunaan bahan pemusnah ozon yang berpotensi menipiskan lapisan serta memberi manfaat terhadap iklim global.

“Buktinya, negara ini berjaya menghapuskan penggunaan bahan pemusnah ozon generasi pertama seperti kloroflorokarbon (CFC), halon dan karbon tetraklorida pada 2010 dan kini mengorak langkah bagi tujuan sama untuk HCFC iaitu generasi kedua pula,” katanya.

Hari Ozon sedunia disambut pada 16 September setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar khususnya berkaitan isu penipisan lapisan ozon.

Bertemakan ‘Ozone For Life-35 Years Of Ozone Layer Protection’ tahun ini, sambutannya sebagai mencerminkan usaha bersepadu masyarakat untuk mewujudkan persekitaran sihat.


Pengarang :