AGENSISELANGOR

KPDNHEP Selangor rampas kasut berjenama tiruan bernilai RM300,000

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 10,000 pasang kasut berjenama tiruan daripada tiga peniaga dalam talian bernilai RM300,000 dalam serbuan Op Jeriji pada Rabu lepas di tiga lokasi berbeza di Selangor.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata stor penyimpanan tiga peniaga itu terletak di Taman Desa Sijangkang Telok Panglima Garang, Pelangi Square, Petaling Jaya dan Space U8, Shah Alam diserbu secara serentak pada 11.30 pagi oleh 13 anggota penguat kuasa bersama tiga wakil pemilik cap dagang.

“Premis berkenaan diserbu berikutan makluman awal pemantauan dan risikan yang dijalankan sejak dua minggu lepas mendapati premis perniagaan berkenaan dijadikan stor dan pusat edaran kasut berjenama tiruan secara dalam talian melalui medium laman sosial seperti Facebook dan Instagram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peniaga berkenaan menyasarkan jualan secara borong kepada peniaga pasar malam dan peniaga dalam talian yang lain di sekitar Lembah Klang selain mempunyai pelanggan tetap yang membuat pembelian secara terus dari premis.

“Turut ditahan dalam serbuan berkenaan adalah tiga lelaki disyaki sebagai pemilik perniagaan yang berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun.

“Keterangan daripada ketiga-tiga suspek juga direkodkan…mereka mengaku sebagai pemilik perniagaan dan juga barangan yang disita,” katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata kasut berkenaan dijual dengan harga sehingga RM70 sepasang, dipercayai dibawa masuk dari China dengan kos sekitar RM15 hingga RM30 sepasang.

Baliau berkata ketiga-tiga suspek berkenaan disyaki menjalankan perniagaan sejak tiga tahun lepas dan mengakui permintaan yang tinggi daripada pelanggan mendorong mereka berbuat demikian.

“Ketiga-tiga suspek berkenaan dilepaskan dengan jaminan polis dengan seorang penjamin setelah selesai direkodkan keterangan di pejabat KPDNHEP Shah Alam, Selangor,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

-BERNAMA


Pengarang :