Pelakon Zarina Zainuddin (tengah) membeli barang keperluan ketika tinjauan Media Selangor pada hari raya pertama di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam pada 2 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Zarina Zainuddin tidak sempat masak ketupat, terkejut dengar pengumuman raya

SHAH ALAM, 2 MEI: Gara-gara pengumuman ‘mengejut’ sambutan Aidilfitri malam tadi, pelakon, Zarina Zainuddin mendedahkan tidak sempat memasak ketupat yang sememangnya menjadi juadah wajib pada pagi lebaran.

Menurut pelakon berusia 52 tahun itu, ketiadaan sajian tradisional itu menyebabkan dia terpaksa mencari ketupat palas sejuk beku di Pasar Moden Seksyen 6 di sini pada pagi Syawal sambil mengenakan busana raya.

Bintang filem Momok Jangan Panggil Aku berkata meskipun sempat menyediakan juadah seperti lemang, daging kerutuk, nasi dagang dan gulai ikan tongkol, namun raya bagai hilang seri tanpa ketupat.

“Ikut perancangan memang mahu buat ketupat hari ini, tetapi tidak sempat apabila dimaklumkan hari ini sudah raya. Sangat terkejut sebab ketika itu saya baru mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Singapura selepas habis berniaga pulut kuning.

“Jadi terpaksalah masak apa yang ada dalam peti ais dan datang sini pagi ini untuk cari ketupat palas dengan berpakaian raya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ibu empat anak turut bersyukur kerana umat Islam dibenarkan menyambut Aidilfitri tahun ini susulan peralihan negara ke fasa endemik selepas dua tahun terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) akibat Covid-19.

“Seronok apabila dapat berkumpul beramai-ramai dengan keluarga dan paling penting bermaaf-maafan serta beri duit raya kepada anak-anak,” katanya lagi.


Pengarang :