Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi (kanan) menyampaikan baucar kerpada penerima pada Majlis Penyerahan Baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Anggerik di Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMANASIONAL

850 keluarga terima baucar beli-belah RM200, ringankan beban sambut hari raya

Oleh ALANG BENDAHARA

SHAH ALAM, 2 APRIL: Seramai 850 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima baucar beli-belah berjumlah RM200 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Wakil rakyatnya Mohd Najwan Halimi berkata agihan kepada mereka yang layak dibuat serentak pada majlis penyerahan baucar tersebut hari ini membabitkan peruntukan RM170,000.

“Semua kuota diberi oleh Kerajaan Negeri kami manfaatkan sepenuhnya dan beri kepada mereka yang berkelayakan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berucap pada Majlis Penyerahan Baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Anggerik di Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kelainan pada tahun ini kami awalkan tarikh pemberian dari seminggu atau 10 hari sebelum Aidilfitri kepada 11 hari pada bulan Ramadan supaya penerima boleh membeli-belah awal sebelum pasar raya sesak dengan pembeli lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis itu di pasar raya Giant Seksyen 13 di sini hari ini.

Mohd Najwan berkata nilai baucar dinaikkan tahun ini oleh Kerajaan Negeri daripada RM100 untuk setiap isi rumah kepada RM200.

“Maklum balas daripada penerima atas penambahan itu adalah sangat baik kerana ia sesuai dengan situasi terkini terutama peningkatan kos sara hidup dan harga barangan keperluan isi rumah yang turut mengalami kenaikan,” katanya.

Jom Shopping Perayaan merupakan bantuan sempena tiga perayaan utama bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan hari raya.

Penerima baucar gembira selepas menerima Baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Anggerik di Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tahun ini, kadar inisiatif dinaikkan kepada RM200 setiap keluarga selain had pendapatan bulanan isi rumah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar tersebut, yang akan memanfaatkan 82,400 penerima di seluruh negeri.


Pengarang :