Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) mendengar taklimat daripada pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (kiri) pada majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor tekad jadi penyedia perkhidmatan air terunggul di Asia menjelang 2030

KLANG, 17 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tekad mencapai sasaran menjadi penyedia perkhidmatan air terunggul di Asia menjelang 2030.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata pihaknya berusaha mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada tahap 25 peratus menjelang 2025.

Menurut Ir Abas Abdullah, setakat ini agensi itu berjaya menurunkan kadar sebanyak 5.5 peratus iaitu 33.3 peratus pada 2017 kepada 27.8 peratus pada tahun lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Menurut Ir Abas Abdullah ketika Jelajah Hydro Family on Wheels sempena Ulang tahun keempat Air Selangor di AEON Mall Bukit Raja, Klang pada 17 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sasaran kita juga untuk meningkatkan margin rizab air, menggantikan paip usang selain pembinaan loji rawatan air demi memenuhi keperluan pelanggan.

“Kita menyasarkan sebanyak 6,000 km paip usang dan kritikal akan diganti segera tetapi perlu dibuat secara berfasa berikutan membabitkan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Jelajah Hydro Family On Wheels sempena ulang tahun keempat Air Selangor di Aeon Mall Bukit Raja di sini hari ini.

Pemandangan udara loji rawatan air Sungai Semenyih di Presint 19, Putrajaya (gambar hiasan). Foto arkib Selangorkini

Mengulas kejayaan agensi itu sepanjang empat tahun, Ir Abas berkata antaranya berjaya menggantikan 650 km paip usang dan pembinaan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih.

“Kita juga berjaya memperkasakan perkhidmatan pelanggan menerusi pendigitalan dengan menubuhkan aplikasi Air Selangor bagi memudahkan para pelanggan membuat sebarang aduan.

“Kita berharap transformasi dan inisiatif yang dijalankan dalam memberikan pengalaman terbaik untuk pengguna dapat terus diutamakan selari dengan janji jenama Air Selangor ‘setiap titis bermakna’,” jelasnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) melakukan gimik perasmian pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sasaran negeri untuk menurunkan kadar NRW kepada 25 peratus menjelang 2025 selaras Rancangan Selangor Pertama.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sasaran itu juga selari usaha pentadbiran negeri yang giat menggantikan paip usang selain pelaksanaan projek pembinaan LRA.


Pengarang :