Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) melakukan gimik perasmian pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ganti paip usang, sasar kadar air tidak terhasil 25 peratus pada 2025

KUALA LANGAT, 30 MEI: Kerajaan Negeri menyasar untuk menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2025, selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar menjelaskan sasaran itu juga selari usaha pentadbiran negeri yang giat menggantikan paip usang selain pelaksanaan projek pembinaan loji rawatan air.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, NRW di Selangor mencecah 27.8 peratus setakat ini, turun 8.2 peratus berbanding ketika mula mengambil alih pengurusan air pada 2016.

“Selangor antara negeri berjaya mencapai NRW bawah 30 peratus hasil penggantian paip. Kita akan ganti semua (paip) berperingkat, namun ada perlu segera seperti di Bukit Cherakah baru-baru ini.

“Selaras dengan RS-1, kita sasar kadar NRW mencapai 25 peratus dan ia memang dalam jadual Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan Selangor mempunyai 30,000km paip, dengan 6,000km kritikal dan perlu diganti segera, namun perlu dibuat berfasa berikutan membabitkan kos tinggi.

“Setiap tahun kita ganti 150km paip. Ia boleh dilakukan secara keseluruhan tetapi ada pertimbangan ekonomi, justeru kita susun dengan pembinaan loji rawatan air dahulu.

“Setelah siap (semuanya), kita fokus pula penggantian paip yang lama atau bocor,” katanya lagi.

 


Pengarang :