AGENDAJENAYAH

Pemuda sertai larian meninggal dunia akibat strok haba

KUANTAN, 26 OGOS: Seorang peserta program larian yang diadakan di sekitar Teluk Cempedak pada Sabtu lalu, meninggal dunia akibat strok haba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata hasil siasatan mendapati punca kematian pemuda berusia 20 tahun itu disebabkan strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.

Beliau berkata mangsa dipercayai pergi ke Hutan Bukit Pelindung di sini pada Sabtu untuk aktiviti larian mendaki yang bermula 6.40 pagi sebelum ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan laluan trek pejalan kaki di hutan berkenaan kira-kira 3 petang.

“Mangsa dalam keadaan kritikal ketika dikejarkan ke HTAA dan segera diberikan rawatan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Keadaan mangsa semakin tenat walaupun rawatan optimum telah diberikan dan menghembuskan nafas terakhir pada 9.39 malam, 25 Ogos dan punca kematian adalah strok haba dengan kegagalan pelbagai organ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes kematian pertama akibat strok haba di negeri itu melibatkan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menjalani latihan di Maran pada 2 Februari lalu.

Dr Rusdi berkata hingga kini jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada tahun ini sebanyak 18 kes dengan 14 kes melibatkan kelesuan haba manakala empat kes strok haba dengan dua kematian.

Beliau berkata suhu harian bagi negeri itu berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35 darjah Celsius dan julat suhu pada hari kejadian lingkungan 24 hingga 33 darjah Celsius.

“JKNP menasihatkan orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak komplikasi berikutan cuaca panas lebih-lebih lagi apabila beriadah atau menjalankan aktiviti luar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :