MPSJ raikan anak yatim sempena Ramadan

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 11 JUN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Majlis Meraikan Anak Yatim Bersempena Bulan Ramadan bersama PUSPANITA MPSJ 2016 di Kompleks Membeli Belah Mydin, USJ 1, di sini, pagi tadi.

Program tahunan ini melibatkan pemberian baucar membeli belah sebanyak RM200 kepada 52 anak yatim untuk mereka membeli keperluan raya masing-masing di pasar raya terkemuka itu.

MPSJ anak yatimYang DiPertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata program ini merupakan acara tahunan yang mula diadakan sejak beberapa tahun lalu.

“Kita harapkan program seperti ini memberi semangat kepada anak-anak yatim ini apabila masih ada pihak yang mengingati dan memberi sumbangan kepada mereka sempena bulan Ramadan dan hari raya kali ini,” kata Nor Hisham.

Nor Hisham berkata demikian kepada SelangorKini selepas beliau meluangkan masa membantu anak-anak yatim itu berbelanja.

Katanya, peruntukan itu disediakan oleh PUSPANITA MPSJ selepas mendapat sumbangan pelbagai pihak swasta di Subang Jaya.

Katanya, MPSJ turut mengkaji untuk memperluaskan skop sumbangan mereka kepada golongan kurang bernasib baik lain seperti golongan orang kelainan upaya (OKU) dan golongan usia emas.

Sementara itu Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin pula berkata, syarikatnya turut terlibat dalam kegiatan kebajikan terutama melibatkan golongan memerluskan mendiami kawasan berhampiran premis perniagaan mereka.

“Apabila anda mendapat keuntungan, anda perlu kembalikan kepada pihak yang memerlukan atau dalam konteks perniagaan kami, dipulangkan kepada masyarakat di sekeliling kami. Aktiviti ini tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja,” kata Ameer.

Katanya lagi, perniagaannya kerap didatangi pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang memohon pelbagai bentuk bantuan untuk disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Contohnya dengan peruntukan RM200 kepada anak yatim hari ini, menyebabkan mereka boleh berbelanja barangan bernilai sehingga RM250.

“Mereka boleh beli lebih banyak barang berbanding tempat lain,” katanya.

EZY


Pengarang :