Euro 2016: Jerman, Poland & Croatia catat kemenangan sulung

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 13 JUN: Juara Piala Dunia 2014, Jerman tidak berdepan masalah memulakan kempen Euro 2016 Kumpulan C selepas berjaya menewaskan Ukraine 2-0.

Pasukan itu membuka tirai jaringan menerusi tandukan kencang pemain pertahanan, Shkodran Mustafi pada minit ke-19 selepas menerima umpanan sepakan percuma Toni Kross.

Ukraine bangkit mengasak menerusi percubaan Yevheniy Konoplyanka pada minit ke-37 yang hampir menghasilkan jaringan namun diselamatkam pertahanan Jerman, Jerome Boateng di atas garisan gol.

Tolakan Artem Fedetskyy pada minit ke-39 hampir menceriakan kem Ukraine sebelum menuju rehat separuh masa pertama namun jaringannya dibatalkan kerana off-side.

Bersambung babak kedua Jerman memperlahankan rentak serangan ke kubu Ukraine namun mereka hanya berjaya menambah jaringan pada penghujung permainan menerusi tolakan mudah Bastian Schweinsteiger hasil satu serangan balas pantas.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C menyaksikan Poland berjaya mencatatkan kemenangan pertama dalam kejohanan Piala Eropah selepas menewaskan Republik Ireland 1-0.

Jaringan tunggal Arkadiusz Milik pada minit ke-51 sudah cukup memberikan ‘The White Eagle’ tiga mata penuh pertama Euro 2016.

Poland menguasai hampir keseluruhan permainan namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Robert Lewandowski gagal menterjemahkan segala peluang terhidang.

Sebelum itu, dalam saingan pembukaan Kumpulan D menyaksikan Croatia mengetepikan cabaran Turki dengan jaringan tipis 0-1.

Pemain tengah, Luka Modric menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi rembatan voley kaki kanan dari luar kotak penalti pada minit ke-41.

EZY


Pengarang :