Kolej Putra Intelek sasar penyertaan pelajar antarabangsa

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 14 JUN : Kolej Antarabangsa Putra Intelek mensasarkan penyertaan lebih ramai lagi pelajar luar negara mengikuti pengajian di kolej itu.

Presidennya, Dr Barathan Muniyandi, berkata pihaknya kini giat merangka pelan jangka panjang ke arah menarik penyertaan pelajar mengikuti pengajian di peringkat profesional di Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Selangor itu.

Putra IntelekBeliau berkata, usaha tersebut dipergiatkan menerusi penganjuran seminar dan jelajah seluruh negara dalam usaha menggalakkan penyertaan pelajar dari dalam dan luar negara.

“Dengan kekuatan gerak kerja kita seramai hampir 100 orang, pihak kolej kini fokus mempromosikan kolej kami ke seluruh negara dengan menyertai banyak pameran pendidikan.

“Tidak cukup dengan itu, kami juga optimis menyediakan kemudahan terbaik dalam memastikan pelajar-pelajar kami dapat mengikuti pengajian bertaraf lima bintang di sini,” katanya.

Sehingga kini, seramai 1,000 pelajar dari dalam negara mengikuti pengajian di kolej tersebut dalam pelbagai bidang di peringkat sijil, diploma dan pengajian ijazah.

Pada masa sama, selaras tuntutan pasaran pekerjaan yang menuntut penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan graduan, Kolej Putra Intelek juga kini rancak menggalakkan pelajarnya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pembelajaran di kolej.

Barathan berkata ia termasuklah kempen penggunaan Bahasa Inggeris ketika berada di persekitaran kolej, namun sebarang urusan rasmi masih mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama.

“Ke arah melahirkan graduan berkualiti, aspek penguasaan bahasa Inggeris dan Melayu dalam kalangan graduan menjadi keutamaan bagi kita.

“Kita akui tuntutan pekerjaan memerlukan graduan yang bukan hanya mahir menguasai satu bahasa, tetapi kemahiran bertutur dalam bahasa lain juga sangat diperlukan ketika ini,” katanya.

EZY


Pengarang :