MPK serbu pasar raya jual barang tarikh luput

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 JUN: Sebuah pasar raya terkenal di daerah ini didapati menjual barangan yang tamat tarikh luput dan melanggar Akta Makanan 1983 semasa operasi khas Majlis Perbandaran Klang (MPK) sempena musim perayaan tidak lama lagi.

Yang Di Pertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata selain menjual barangan tamat tarikh luput, pasar raya itu juga didapati melakukan kesalahan berkenaan label makanan, tin makanan didapati kemek dan beberapa kesalahan lain.

MPK“Dalam serbuan itu beberapa produk makanan turut disita,” katanya dalam kenyataan.

Yasid berkata operasi dijalankan oleh Jabatan Kesihatan MPK itu bertujuan melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan serta penipuan dalam penyediaan dan penjualan makanan.

Selain itu, katanya operasi itu bertujuan memastikan makanan dijual dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu sentiasa berkualiti, bersih dan bermutu.

Yasid turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa berwaspada terutama menjelang musim perayaan dalam aspek membabitkan mutu makanan dan label pembungkusan makanan.

“Orang ramai juga perlu memastikan barangan dibeli di dalam tin tidak berkarat, menggelembung atau kemek serta mempunyai tarikh luput bagi mengelakkan masalah berkaitan kesihatan kelak,” katanya.

Yasid berkata premis menjual makanan sudah tamat tarikh luput, rosak, tercemar, tidak berlabel dan tidak mempunyai maklumat lengkap akan berdepan tindakan tegas termasuk sitaan.

Katanya, operasi khas itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

EZY


Pengarang :