Nurul Izzah: Legasi BN, terus mungkir janji kebajikan rakyat

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 JUN : Kenyataan Barisan Nasional kononnya mahu mempertahankan kemenangan di Sungai Besar bagi tujuan kepentingan rakyat ditempelak, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, kemenangan BN hanya mengheret kepada episod kesengsaraan apabila kebajikan dan kepentingan rakyat terus dinafikan di bawah kegagalan pentadbiran parti itu.

“Pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar sekali lagi memperlihatkan kemahuan BN untuk mempertahankan kerusi kononnya atas dasar ‘kepentingan’ rakyat.

bantah-gst“Sebaliknya, rakyat merasai kesempitan hidup dibawah kerajaan Najib Razak dengan kenaikan harga barang, minyak, dan GST.

“Undi calon BN di PRK Sungai Besar, YB Budiman tidak lain hanyalah meneruskan legasi BN, iaitu legasi mungkir janji kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Jentera kempen Barisan Nasional sebelum ini menegaskan keperluan masyarakat Sungai Besar untuk memilih calon mereka, Budiman Mohd Zohdi kononnya bagi memastikan aspek kebajikan penduduk menjadi keutamaan.

Bahkan, Budiman ketika sesi berkempen ke sekitar kawasan masyarakat Sungai Besar turut membawa tema ‘Meneruskan Legasi BN’ sebagai kaedah meraih undi terhadap parti itu.

Bagaimanapun, Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihanraya KEADILAN berkata, Budiman hanyalah legasi yang akan terus memungkiri janji-janji kerajaan pentadbir.

“Menjadi satu tanggungjawab moral apabila pemimpin yang dipilih oleh rakyat mempunyai keupayaan prinsip dalam mengurangkan beban rakyat.

“Malangnya, dengan mengundi calon Barisan Nasional, akan membuka ruang terhadap satu lagi calon yang meneruskan legasi Barisan Nasional iaitu legasi memungkiri janji,” katanya.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan calon AMANAH, Ustaz Azhar Ab Shukur manakala PAS meletakkan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman sebagai calonnya.

EZY


Pengarang :