Kempen kurang guna beg plastik diperhebat

OLEH : NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 11 JUN: Kerajaan Negeri akan melaksanakan penambahan hari dalam Kempen Pengurangan Beg Plastik di seluruh Selangor tahun depan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata sebagai perintis, bermula September ini, kempen terbabit akan mula dilaksanakan di semua premis bangunan Kerajaan Negeri.

“Kita masih memperincikan perkara ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan kempen ini setiap hari.

hari-tanpa-beg-plastik“Bagaimanapun, ia masih di peringkat kajian, namun perlaksanaan penambahan hari tanpa beg plastik akan dijalankan 2017,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Mampan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Elizabeth berkata perlaksanaan itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan penduduk.

Katanya, hal itu kerana kajian dijalankan lebih setahun lalu, terdapat permintaan dari penduduk untuk Kerajaan Negeri mengharamkan penggunaan beg plastik.

“Bagaimanapun, mereka meminta supaya ada alternatif lain selain menggunakan beg plastik.

“Dan dalam kajian kita, jika setiap hari dilaksanakan tanpa beg plastik, akan ada syarat berkecuali,” katanya.

Kempen Hari Tanpa Beg Plastik berjaya dilaksanakan pada setiap hari Sabtu di semua pasar raya terlibat dan sambutan diterima menggalakkan daripada semua pihak yang mana melibatkan pengusaha pasar raya dan pengguna.

EZY


Pengarang :