Bawa bekas makanan sendiri boleh dapat hadiah

OLEH : NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 11 JUN: Setiap pengunjung yang membawa bekas makanan sendiri berpeluang untuk menerima hadiah ‘Foldable Bicycle’ daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan ke 10 tahun MBPJ.

Datuk Bandarnya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata hadiah terbabit sebagai usaha mempromosikan kempen bawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan.

Katanya, kempen terbabit bertujuan mendidik masyarakat untuk mengurangkan penggunaan pembungkusan polisterin.

“Setiap pengunjung yang membawa bekas makanan akan diberi satu cop setiap hari dan lima cop terkumpul akan mendapat hadiah saguhati dan layak mendapat cabutan bertuah pada 20 Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek perintis Bazar Ramadan mampan, di SS 6/1, di sini.

Mohd Azizi berkata, peniaga digalakkan menggunakan alternatif baru iaitu pembungkus ‘Biodegradeble’ sebagai ganti pada polisterin.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, projek perintis Bazar Ramadan Mampan 2016 itu berhasrat untuk mewujudkan bazar bersih dan teratur, tanpa gangguan kepada penduduk, mengurangkan kos pengurusan sampah dan pembersihan.

“Kita mahu mengurangkan indeks kebersihan Petaling Jaya iaitu kurang dari 2.5.

“MBPJ melantik seramai 19 kontraktor pembersihan untuk membersihkan kawasan bazar seluruh Petaling Jaya,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 1,354 peniaga memohon lesen di 20 lokasi bazar Ramadan sekitar Petaling Jaya.

Sebanyak 530 contoh makanan diuji, enam darinya positif dan dikenakan kompaun.

Beliau berkata, MBPJ turut mengetatkan syarat penjaja tahun ini sebagai satunya untuk tidak menggunakan plastik beg.

“Peniaga dikenakan kompaun RM250 jika tidak memakai apron, penutup kepala, tidak mempamerkan lesen dan gagal membersihkan bazar,” katanya.

Sebanyak 185 notis dan 57 kompaun dikeluarkan oleh MBPJ atas kesalahan berniaga tanpa lesen dan meninggalkan barang dilokasi bazar.

Manakala, lima notis dan 108 kompaun dikeluarkan oleh unit penjaja MBPJ atas kesalahan tidak mematuhi syarat lesen.

Pada 2015, jumlah sampah dijana oleh empat bazar Ramadan adalah sebanyak 181.74 tan.

Dari jumlah itu, dianggarkan purata setiap bazar menghasilkan 4.52 kilogram sampah setiap hari dan sebanyak 135.75 kilogram sebulan bagi setiap petak.

Projek Bazar Ramadan Mampan 2016 itu disuntik oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan khas sebanyak RM10,000 disalurkan.

EZY


Pengarang :