Kerajaan Negeri edar 1,000 tong sampah tingkat kebersihan

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 14 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM85,000 bagi mengedarkan 1,000 tong sampah kepada penduduk di kampung dan taman perumahan sekitar Sabak Bernam bagi meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan dan alam sekitar.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata peruntukan ini merupakan langkah susulan kelulusan dibuat Kerajaan Negeri pada 2015.

“Tong sampah ini adalah sumbangan Kerajaan Selangor untuk membantu penduduk menjaga kebersihan di kawasan kampung mereka selaras objektif Kerajaan Negeri mahukan Selangor bersih.

“Diharap penduduk jangan simpan tong sampah dalam rumah sahaja tetapi gunakan ia supaya sampah dapat diuruskan baik. Sebelum ini saya dapati ada penduduk membuang merata-rata termasuk membuangnya di dalam laut. Perbuatan ini memberi impak buruk kepada biologi laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengedaran Tong Sampah Percuma di Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung Sen Fak Sua Kong, Bagan Sungai Besar di sini, hari ini.

Katanya, pemberian 1,000 tong sampah ini termasuk lebih 400 buah yang diedarkan kepada penduduk Bagan Sungai Besar tadi ekoran kedudukan geografi Bagan Sungai Besar yang mampu memberi impak besar terhadap biologi laut.

Katanya lagi, tong sampah selebihnya diedarkan oleh Majis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di kampung dan taman perumahan di dalam kawasan Sabak Bernam.

Tambah Hian Wah, Kerajaan Negeri membeli tong sampah tersebut pada harga RM85 sebuah berbanding harga di pasaran dianggarkan mencecah lebih RM100 setiap satu.

EZY


Pengarang :