AGENSISELANGOR

UNISEL anjur Hari Terbuka Kolej Kediaman pada 28 September

SHAH ALAM, 21 SEPT: Universiti Selangor (UNISEL) bakal menganjurkan Hari Terbuka Kolej Kediaman yang akan diadakan selama dua hari di Kampus Bestari Jaya, bermula 28 September ini.

Pengetua Kolej Kediaman UNISEL Kampus Bestari Jaya, Muhammad Hashim berkata, program itu terbuka kepada seluruh masyarakat dan tidak hanya dikhususkan kepada warga universiti berkenaan sahaja.

“Hari terbuka ini ruang terbaik untuk masyarakat terutama kepada ibu bapa khususnya mahu melihat UNISEL secara keseluruhan yang kini melalui fasa transformasi di bawah pimpinan Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman,” katanya dalam kenyataan di Facebook UNISEL.

Muhammad berkata, sempena hari terbuka itu turut diadakan rebat 30 peratus yuran pendaftaran UNISEL bagi kemasukan pelajar sesi November 2019.

“Pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung selama dua hari antaranya pertandingan sukan, pertandingan memasak, program derma darah, pameran dan gerai jualan.

“Orang ramai turut akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi terkenal, Andee Bernadee bagi program Malam Aspresiasi Kolej Kediaman di Dewan Naib Canselor UNISEL,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh layari Facebook Universiti Selangor.


Pengarang :