V Ganabatirau menyempurnakan gimik perasmian Program Pengupayaan Sosio Ekonomi Khusus Untuk Meningkatkan Ilmu Keusahawanan dan Peningkatan Pendapatan Penerima-penerima Bantuan Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi. Foto ASRI SAPFIE
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kumpulan B40 disaran rebut peluang majukan perniagaan

SEPANG, 21 SEPT: Usaha untuk meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah (B40) akan terus menjadi tumpuan Kerajaan Negeri supaya rakyat mendapat manfaat daripada program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM11.3 juta untuk memberdaya golongan B40 melalui program pembasmian kemiskinan bagi meningkatkan pendapatan sejak 2008.

Katanya, peranan yang dimainkan agensi kerajaan khususnya bagi menyediakan peluang memasarkan produk perniagaan juga banyak membantu penerima bantuan mengubah kehidupan.

“Saya menyeru semua peserta memanfaatkan peluang disediakan Kerajaan Negeri dan mencari peluang mengembangkan perniagaan.

”Segala bentuk bantuan disediakan khususnya untuk kumpulan B40 dan berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 supaya mereka boleh mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

“Paling penting berusaha dan menambah pengetahuan supaya perniagaan dapat dimajukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pengupayaan Sosio Ekonomi Khusus Untuk Meningkatkan Ilmu Keusahawanan dan Peningkatan Pendapatan Penerima Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah Sepang 2019 di Bandar Baru Serenia.

Katanya, daerah Sepang menunjukkan prestasi membanggakan apabila merekodkan jumlah kelulusan pendaftaran permohonan blueprint tertinggi pada 2019 dengan 73 permohonan dan jumlah pembiayaan RM301,250.

“Sebelum ini Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam mencatatkan permohonan tertinggi tetapi tahun ini Sepang mencatatkan rekod.

“Kita tengok penghulu dan ketua komuniti bekerja keras untuk mendaftarkan banyak permohonan bagi membantu golongan B40 di kawasan masing-masing,” katanya.

Ganabatirau turut berharap jumlah peruntukan RM2 juta untuk program blueprint pembasmian kemiskinan sejak 2008 dapat ditingkatkan tahun hadapan supaya lebih ramai rakyat memperoleh manfaat kerana ia berimpak tinggi.


Pengarang :