AGENSISELANGOR

7.62 juta pelancong lawat Selangor tahun lalu

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor mencatat 7.62 juta pelancong tahun lalu, meningkat lima peratus berbanding 2018, kata pengurus besarnya.

Azrul Shah Mohamad berkata peningkatan itu susulan promosi tempat menarik di laman sosial selain keberkesanan persediaan Kempen Melawat Selangor 2021.

“Tourism Selangor juga melancarkan laman sesawang baharu Selangor.Travel bagi memudahkan orang awam mendapat maklumat lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, laporan Selidik Pelancongan Domestik 2019 oleh Jabatan Perangkaan turut menunjukkan Selangor menerima 33.6 juta pelawat domestik tahun lalu, tertinggi di negara ini.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (22.6 juta), Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).

Sementara itu, Azrul Shah berkata tiga hotel ditutup manakala beberapa yang lain terpaksa menghentikan sementara operasi hingga hujung tahun susulan Covid-19.

“Banyak hotel beroperasi tanpa keuntungan dengan jangkaan jumlah penginap hanya 40 peratus dari kapasiti penuh hotel sehingga hujung tahun ini. Pandemik ini memberi kesan besar kepada industri perkhidmatan dan perniagaan seluruh dunia,” katanya lagi.


Pengarang :