AGENDANASIONAL

Pembangkang persoal tempat duduk baharu tidak selesa

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Isu kedudukan tempat duduk baharu ahli parlimen dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini apabila segelintir wakil rakyat pembangkang melontarkan rasa tidak puas hati mengenai kedudukan baharu yang disifatkan tidak selesa dan menyusahkan pergerakan di dalam dewan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) meminta penjelasan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengenai penetapan tempat duduk baharu sebelum sesi perbahasan bermula.

“Kedudukan (pada minggu lepas) selesa, tapi tiada mikrofon dan komputer. Pada hari ini, kami duduk di galeri orang awam yang dikhaskan untuk orang awam. Kalau dulu tempat selesa, sekarang sungguh sempit. Kalau jatuh tersungkur, lagi teruk.

“Adakah ini cara tuan Speaker nak kekang kami daripada berbahas? Kalau nak bertindak adil, mengapa tak ubah ahli Perikatan Nasional (PN) untuk duduk saksama. Kenapa pembangkang sahaja duduk galeri?” soalnya.

Maria turut membangkitkan isu yang sama dan mendakwa tiada penjarakan sosial dalam kalangan ahli parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, Azhar menegaskan beliau tiada niat untuk mengekang ahli parlimen berbahas serta memaklumkan penetapan kedudukan baharu itu hanya sebagai tempoh percubaan dan akan ditukar semula dengan persetujuan parti whip.

“Saya dengan niat yang baik, bukan untuk mengekang (untuk berbahas). Saya fikir duduk di sini lebih baik dan tak berapa gelap supaya kita nampak. Saya sedang berusaha untuk letakkan seberapa banyak mikrofon.

“Ini untuk percubaan. Sebab itu kita nak cuba buat (perubahan tempat duduk), saya ‘engage’ dengan parti whip, bukan buat secara ‘unilateral’. Kita dalam keadaan Covid-19. Kalau dapati tak sesuai, kita akan ubah semula,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika mengendalikan sesi pagi ini memaklumkan perubahan beberapa tempat duduk ahli Parlimen bagi memberi keselesaan kepada mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Perubahan itu melibatkan sebahagian ahli Barisan Nasional (BN) Backbenchers dipindahkan ke barisan belakang di blok utama dewan.

“Beberapa ahli lain ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kanan saya, manakala ahli parlimen pembangkang yang duduk di tempat duduk pegawai di kiri saya kini dipindahkan ke galeri awam di belakang sana.

“Perubahan tempat duduk terkini ini turut mengambil kira peraturan agar pengerusi dapat memandang ahli Yang Berhormat semasa sesi pertanyaan dan perbahasan selaras dengan peraturan mesyuarat 35 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Mohd Rashid berkata Azhar juga telah melakukan tinjauan peribadi tempat duduk ahli dewan dan berbincang dengan ahli yang mewakili blok kerajaan dan pembangkang sebelum memutuskan demikian bagi memberi keselesaan kepada ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan beliau tidak mengarahkan hakim untuk menangguhkan prosiding kes Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) bagi membolehkan bekas perdana menteri itu hadir berbahas Khamis lepas.

“Saya berpendapat oleh kerana slot Pekan (Najib) untuk berbahas, saya ingin memohon pertimbangan hakim untuk pertimbangkan permohonan beliau untuk hadir ke Parlimen.

“Kita ada doktrin pembahagian kuasa, di mana kuasa mahkamah dan eksekutif adalah sama. Saya bukan mengarahkan tetapi saya memohon pertimbangan hakim. Itu budi bicara saya,” katanya menjelaskan persoalan yang dibangkitkan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) yang mempersoalkan keperluan Azhar menggunakan kedudukannya untuk menangguh prosiding kes mahkamah bekas perdana enteri itu.

-BERNAMA


Pengarang :