Seorang anggota polis memasang poster kesihatan berhubung Covid-19 di stesen kereta api Tanyong Mat di wilayah selatan Narathiwat, Thailand pada 11 Jun 2020 selepas perkhidmatan itu kembali beroperasi. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Thailand catat tiga kes baharu, keseluruhan 3,249 kes

BANGKOK, 20 JULAI: Thailand melaporkan tiga kes baharu Covid-19 – kesemuanya warga negara itu yang kembali dari luar negara dan tiada kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 3,249 dengan 58 kematian.

Semalam merupakan hari Ke-55 Thailand mencatatkan sifar jangkitan tempatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pesakit baharu itu terdiri daripada dua lelaki Thai berusia 43 dan 64 tahun yang kembali dari Singapura dan seorang lagi lelaki Thai berusia 39 tahun yang pulang dari Sudan.

“Semua pesakit baharu itu menjalani kuarantin di kemudahan yang disediakan kerajaan. Mereka tidak mempunyai hubungan dengan orang awam sejurus ketibaan mereka,” kata beliau dalam taklimat Covid-19.

Setakat ini, beliau berkata sejumlah 3,096 pesakit sudah pulih dan didiscaj daripada hospital sementara baki 95 orang masih lagi berada di wad.

– BERNAMA


Pengarang :