Penjara Kajang. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI (KABURKAN MUKA)
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Terkesima hukuman penjara ditambah, wanita kempunan beraya bersama keluarga

Hari Raya Aidilfitri disambut gembira oleh umat Islam di seluruh dunia. Namun, ada yang berduka tidak dapat bersama keluarga tercinta dek terbelenggu oleh tirai besi.

Natijah kesalahan lampau menyebabkan terkurung, namun masih dapat merai kemenangan menahan nafsu ketika Ramadan bersama rakan banduan, warden dan pegawai penjara.

Wartawan Nazli Ibrahim dan jurugambar Ahmad Zakki Jilan menyelami jiwa tiga banduan yang menyambut lebaran dalam kurungan Penjara Kajang pada 2 April.

Hatinya berbunga-bunga, tidak sabar. Selepas tujuh tahun, enam bulan merengkok di Penjara Wanita Kajang, Hani (bukan nama sebenar), 40-an, mengira detik untuk dibebaskan.

Di rumah, suami dan anak-anak sudah tidak sabar menyambut kepulangan Hani ke pangkuan keluarga. Ketuhar dan mesin jahit sudah siap dibeli suami supaya ibu kepada lima anak ini boleh meneruskan minatnya apabila bebas nanti.

Namun harapan wanita asal Pahang itu berkecai. Dunianya menjadi gelap. Lutut lemah dan seakan mahu rebah apabila bekas setiausaha ini diberitahu perlu menjalani lagi 12 tahun hukuman penjara.

Hani menganggap boleh bebas pada 2022 tanpa menyedari mahkamah menetapkan hukuman dijalan berasingan menjadikan hukuman penjara sebenarnya selesai pada 2034.

Suami Hani patah semangat apabila diberitahu keputusan itu dan mengambil masa cukup lama untuk menerangkan kepada anak-anak.

Dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 4(1) B Akta Jenayah Komputer, Hani tidak menduga raya kali ini merupakan kali ketujuh terpaksa meraikannya di sebalik tembok penjara.

“Kalau takbir pagi raya, memang ‘banjirlah’. Bila dengar takbir memang sangat tak boleh tahan. Masa nak makan nasi himpit pun berjurai air mata.

“Kali ini raya ketujuh saya dalam penjara. Sebelum ini masa ada anak dalam penjara bila sedih kita peluk dia. Sebanyak sedikit mengurangkan sedih, rindu dengan keluarga sebab kita rasa ada anak yang teman, menghiburkan tetapi bila anak dah keluar, saya rasa kosong,” katanya.

Hani dipenjara sejak 2017. Ketika itu anak bongsu baru dua bulan setengah di dalam kandungan. Anaknya itu dilahir dan dibesarkan di dalam penjara hingga berumur tiga tahun sebelum diserah kepada suami.

Hukuman penjara ke atasnya juga banyak memberi kesan kepada kehidupan suami dan anak-anak di luar sana.

Penghuni Penjara Kajang yang dikenali sebagai Hani

Tetap bersyukur

“Masa mula-mula jatuh hukum dulu, anak saya masa kelas agama, ustazah mengajar di depan dia menangis di belakang. Ustazah tanya, kenapa menangis? Dia jawab, saya sedih, saya rindu mama.

“Ustazah tanya, mama pergi mana? Dia jawab, mama masuk penjara. Lepas itu satu sekolah tahu. Dia tertekan sampai kena pergi kaunseling. Bila kawan mula sindir, suami tukarkan sekolah sebab takut dia makin murung,” katanya.

Walau juadah raya di penjara tidak sama seperti di rumah namun Hani tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya disediakan nasi himpit dan kuah kacang.

Pada tengah hari pula disediakan nasi ayam atau nasi minyak. Manakala pada petangnya disediakan beberapa biji biskut raya atau agar-agar.

“Biasanya keluarga, suami, anak-anak, adik beradik akan datang melawat saya pada hari raya ketiga. Saya bertuah kerana walau terpisah dengan tembok tetapi alhamdulillah keluarga masih beri sokongan,” katanya.

Manakala rutin pada bulan puasa pula, makanan sahur dihantar ke sel pada jam 12 malam. Makanan itu disimpan untuk dimakan pada jam empat pagi.

Biasanya juadah berbuka puasa nasi berlaukkan ikan goreng atau ikan rebus bersama sayur dan kurma.

Di penjara, Hani bertadarus al-Quran pada waktu siang, manakala pada sebelah malam pula bersembahyang tarawih berjemaah.

Berbaki 10 tahun lebih lagi tempoh hukuman, lulusan ekonomi perniagaan dan kesetiausahaan itu mendedahkan dia ingin memeluk suami dan anak-anaknya apabila dibebaskan kelak.


Pengarang :