GOMBAK, 30 APRIL : Anak syarikat Kerajaan Negeri Worldwide Holdings menyumbangkan empat ekor lembu kepada Parlimen Gombak sempena perayaan Aidilfitri.
Setiusaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar Rahim Ahmad Kasdi berkata daging itu diedarkan kepada lebih 300 asnaf, fakir dan miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, DUN Hulu Kelang serta DUN Gombak Setia.
“Terima kasih kepada pihak Worldwide Holdings berikan sumbangan ini kepada golongan kurang berkemampuan di Parlimen Gombak.
“Kita harap agihan daging lembu ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan mereka untuk membeli bahan masakan raya,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua di sini, semalam.
Rahim yang juga penyelaras DUN Gombak Setia berkata pelbagai bantuan Ramadan selesai diagih kepada penduduk sekitar Gombak hasil sumbangan anak syarikat Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah bantuan ini berterusan dari semasa ke semasa demi menyantuni golongan yang kurang mampu,” katanya