BUDAYARENCANA

Roncelingua

Oleh Saiful Ghazali

Tiada tajuk terpampang di muka hadapan tabloid. Yang tinggal hanya himpunan foto tragis. Sejumlah besar perkataan yang didaftarkan secara terancang telah dibawa lari. Peliknya apabila peti-peti besi yang menyimpan wang tidak terusik di bangunan penjaga bahasa. Ramai pengawal keselamatan terkedang cedera akibat melawan perompak-perompak bahasa. Pistol menjadi tiada bisa. Cota di pinggang apatah lagi. Pegawai merancang bahasa yang dilantik turut tidak melepaskan peluang bersilat melawan perompak durjana. Perancang bahasa kalah.

Mereka yang terlentang dan tewas bukanlah lemah semampai. Semuanya dipilih dan dilantik setelah mengharungi peperiksaan dan pemeriksaan berstrategi. Perompak digambarkan begitu ganas. Mereka antipeluru dan tinju. Bahasa yang selama ini tidak diendahkan tiba-tiba menjadi begitu mahal. Nilainya naik melambung tinggi. Tidak mampu dibayar biar dengan wang atau budi.

Perompak sedang diburu polis. Menteri terlibat turut mengarahkan dengan bahasa tunjuk-tunjuk agar tentera bersama-sama mencari bahasa yang telah hilang dirompak. Sekatan jalan dan perintah kawalan pergerakan telah dilaksanakan dengan begitu ketat. Lebih ketat berbanding serangan virus korona tidak lama dahulu. Setiap yang melalui sekatan jalan raya disuruh bercakap. Sesiapa yang boleh bercakap waima sepatah perkataan akan dikuarantin. Saintis dan sarjana dalam bidang linguistik akan melakukan kajian dari semua segi tentang logika lidah mereka tidak kelu. Kehilangan sebahagian bahasa merupakan tragedi paling malang buat negara. Antara banyak kemalangan yang melanda, tragedi ini paling memilukan negara.

Mana tidaknya, manusia di seluruh ceruk negara kelu. Bangun mereka pada pagi itu sebagai manusia tidak berbahasa. Hingga mahu memesan roti canai di kedai mamak menjadi kecoh. Terjelir-jelir lidah mahu memahamkan bahawa mereka hanya mahukan sekeping roti canai bersama segelas teh tarik. Apatah lagi pasangan bercinta jarak jauh yang setiap hari berhubung secara panggilan telefon. Hendak bercakap susah, mahu menaip apatah lagi. Hanya emotikon yang tinggal untuk menzahirkan emosi berahi cinta. Perdana Menteri yang lazim mengatur sidang media setiap kali musibah hilang punca. Hanya tangisan bersama gawangan tangan selama tiga minit sahaja mampu diterjemahkan di hadapan lensa kamera. Itupun tidak difahami maksudnya oleh rakyat.

Pecinta bahasa apatah lagi. Mereka menangis teresak-esak. Cinta mereka telah dirompak hidup-hidup. Pecinta bahasa bermuram-durja siang bertemu malam. Mereka antara yang paling terkesan dengan tragedi yang sedang menimpa. Modal mereka selama ini hanyalah bahasa. Ramai juga pecinta bahasa yang mengalami kemurungan. Tidak boleh tidur dan tidak lalu makan. Mereka telah kehilangan perkara yang mereka cintai. Bahasa telah dirompak.

Serangan mambang tidak berbahasa disyaki menjadi punca. Mereka asalnya kelu. Lidah mereka kaku kerana mereka tiada bahasa. Mambang perompak bahasa bukan bisu. Tubuh badan mereka begitu kuat. Malangnya mereka lahir tanpa bahasa. Bagi melengkapkan mereka sebagai makhluk kekar sempurna, mambang ini memerlukan bahasa. Mereka perlu bercakap dan berkomunikasi. Maklumat berkenaan mambang ini diperolehi melalui beberapa risikan pantas yang bersumberkan video daripada sistem televisyen litar tertutup. Hanya dengan merompak bahasa daripada seluruh dunialah akan menjadikan mereka boleh fasih bertutur. Dengkinya mereka kepada manusia yang sebelum ini berbahasa dengan ranggi sudah sampai ke tahap puncak.

Sebuah persidangan tergempar antara penggiat-penggiat bahasa telah dirancang di bangunan penjaga bahasa tidak lama selepas rompakan. Yang berhaluan kanan dan kiri semuanya dijemput. Walaupun tidak sebulu, tetapi hari itu mereka perlu bertemu. Kiri dan kanan semuanya duduk semeja. Selepas semuanya sampai, mereka diam termangu. Semuanya bingung. Jaguh-jaguh bahasa tidak mampu mengungkap kata. Mereka hilang akal. Hilang modal. Tiada yang pelik melainkan kepelikan yang berlaku pada ketika itu apabila semua pemenang hadiah-hadiah sastera peringkat negeri mahupun nasional jadi tuli. Akhirnya semua balik begitu sahaja tanpa sempat berbincang apa-apa.

Namun tidak lama selepas rompakan, mambang perompak bahasa kembali menuju bangunan penjaga bahasa. Bersama mambang-mambang itu ada bersama tabung bahasa yang kejap menyimpan perkataan yang telah didaftar kata. Rupanya mambang-mambang itu keliru untuk menggunakan patah perkataan yang dirompak mereka mengikut sistemnya. Tetapi, tidak banyak perkara yang boleh mereka lakukan kerana pegawai-pegawai di bangunan penjaga bahasa juga tidak boleh berkomunikasi. Mahu tidak mahu, mambang perompak bahasa terpaksa menyuapkan kembali patah-patah perkataan kepada salah seorang pegawai perancang bahasa. Setelah selesai menyuap kembali bahasa kepada pegawai itu, mereka mula berkomunikasi. Mambang berperangai jemuan bercakap dengan bahasa yang berterabur. Pegawai perancang bahasa kembali gagah berbahasa.

“Kalian tidak perlu merompak bahasa manusia sedemikian rupa. Kalian boleh sama-sama belajar bahasa manusia. Sejarah telah membuktikan bahawa manusia di negeri kami merupakan manusia yang paling bertoleransi dalam perihal bahasa. Bahasa bukan sekadar diajar kepada anak kecil di sekolah, malah turut diajar kepada binatang burung dengan mengikis lidah mereka. Bahkan bahasa di negeri kami juga sering dirojak-adukkan oleh penutur-penuturnya.” jelas pegawai perancang bahasa dengan panjang lebar. Puas rasanya dia boleh mengungkapkan kata setelah lama dalam kelu.

Mambang perompak bahasa memahami walaupun mereka sedikit keliru. Tetapi ia tidak menjadi masalah asalkan hajat mereka dipenuhi. Kerajaan telah mencipta sejenis serum yang perlu disuntik kepada semua manusia di negeri itu supaya keadaan kembali pulih. Program suntikan serum bahasa berjalan dengan lancar.

Setelah itu mambang perompak bahasa telah mengikuti kursus mendalami ilmu bahasa di bangunan penjaga bahasa selama enam bulan. Ada dalam kalangan mereka yang menjadi begitu fasih sehingga mula menjadi pempengaruh media sosial dan selebriti televisyen. Mereka pula yang mengajar manusia di negeri ini berkenaan penggunaan bahasa yang sebenar. Sudah menjadi sesuatu yang konvensional dalam negeri ini apabila ada orang asing yang fasih berbahasa ibunda, maka ia akan disanjung-julang. Mambang berperangai jemuan yang sebelum ini dibenci kerana merompak bahasa mula dijemput ke rancangan televisyen temu bual pagi hari. Tidak kurang juga yang dipilih menjadi penghias muka depan majalah dan mempunyai kolum ruang bicara sendiri.


Pengarang :