Petugas haji mengaminkan doa sebelum berlepas ke Arab Saudi bagi pengurusan operasi ibadah haji tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Mei 2022. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

Persiapan ikut garis panduan ditetapkan, Tabung Haji sedia sambut jemaah mulai esok

MADINAH, 3 JUN: Bukan sahaja penginapan dan pengangkutan, malah petugas Lembaga Tabung Haji (TH) yang menjadi pembimbing telah bersedia sepenuhnya untuk menyambut ketibaan jemaah haji secara berperingkat di sini, bermula 4 Jun.

Pengarah Operasi Madinah Mohamed Heikal Mohamed Yusuff berkata persedian rapi dilakukan setelah beberapa sesi perjumpaan dan perbincangan dengan wakil Kementerian Haji, Syarikat Adila dan pengurusan hotel diadakan.

Katanya, ia perlu dilakukan dengan teliti dan teratur bagi mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Pada musim haji ini, TH menyediakan dua bangunan penginapan jemaah iaitu di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick dan juga Hotel Al Saha Madinah yang masing-masing terletak kira-kira 50 dan 280 meter dari Masjid An Nabawi.

“Kesemua aspek operasi telah disediakan untuk memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia diberi perhatian sepenuhnya agar mereka dapat melaksanakan ibadah tanpa ada rasa kerisauan dan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat TH Madinah di Bangunan Roha.

Dilaporkan, seramai 340 petugas berpengalaman TH akan bertugas sepanjang musim haji kali ini, bagi menyantuni kira-kira 14,306 jemaah.

Selain itu, Mohamed Heikal berkata TH telah merangka akitiviti ibadat dan ziarah untuk jemaah haji semasa berada selama enam hari lima malam di Madinah.

“Antara aktiviti yang bakal dilaksanakan ialah ceramah agama, ziarah Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah serta lawatan ke tempat bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Quba, Masjid dua kiblat, Makam Shuhada Uhud.

“Sesi taklimat pengurusan juga akan diadakan bagi menyampaikan maklumat terkini berkaitan ibadah dan perjalanan jemaah haji,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Zon Madinah Nazmi Mohamad berkata pihaknya telah menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk kaunter khidmat pelanggan untuk menerima sebarang pertanyaan dan aduan oleh jemaah untuk diselesaikan dengan kadar segera.

Perkhidmatan kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor diiktiraf turut disediakan.

“TH juga menyediakan guru agama yang dikenali sebagai Pembimbing Ibadat Haji (PIHTAS) untuk memberi tunjuk ajar dari segi pelaksanaan ibadah sepanjang berada di sini supaya dapat melaksanakan ibadah dengan yakin.

“Jemaah haji dinasihatkan untuk membuat persediaan dari segi mental dan fizikal memandangkan cuaca di Madinah juga agak panas,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :