Peserta membuat pendaftaran sebelum menjalani Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Selangor Saring di Hulu Bernam, Sekinchan pada Sabtu, Ahad ini

SUBANG JAYA, 3 JUN: Program pemeriksaan kesihatan Selangor Saring anjuran Kerajaan Negeri sejak 22 Mei lalu terus mendapat sambutan menggalakkan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata selain peningkatan kehadiran peserta di setiap lokasi, tempahan ujian menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) juga semakin bertambah.

“Sebagai contoh, dalam program ini kita tetapkan 1,000 peserta untuk jalani ujian serviks. Namun dalam tempoh dua minggu dilancarkan, hampir 80 peratus sudah ditempah.

“Mungkin kita perlu tambahkan lagi kuota individu supaya lebih ramai mendapat manfaat. Kesedaran mengenai tahap kesihatan semakin tinggi dan kita akan terus menghebahkan program ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Mekar Kasih Ibu Tunggal Selangor 2022 di sini semalam.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Minggu ini, program percuma itu diadakan di Dewan Kelab Ko Cho, Hulu Bernam pada Sabtu manakala Ahad berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Kuan, Sekinchan.


Pengarang :