BERITA UTAMASELANGOR

Rancangan Selangor 1 dirangka khusus beri limpahan ekonomi kepada rakyat

SHAH ALAM, 5 JULAI: Rancangan Selangor 1 dirangka rapi dalam memastikan perancangan lima tahun negeri memberi limpahan ekonomi kepada semua khususnya rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi pelan itu beberapa kawasan utara, tengah hingga ke selatan negeri dibangunkan dengan projek bernilai tinggi.

Beliau berkata pasukannya mengambil masa tujuh bulan dengan menemui lebih 70 agensi bagi memastikan pembangunan projek berkenaan dapat dijayakan.

“Rancangan Selangor 1 bukan sahaja membentangkan pelan infrastruktur tetapi juga projek kolaborasi antara negeri dengan pihak swasta.

“Ia akan menjadi ‘grand plan’ yang menyeluruh dalam tempoh lima tahun,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Oleon Port Klang Sdn Bhd dengan Cetral Spectrum (M) Sdn Bhd di Hotel Saujana Kuala Lumpur di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) Mohamad Razif Abdul Wahab (dua, kiri) bertukar dokumen dengan Pengurus Negara Oleon Port Klang Sdn Bhd (Oleon) Stephane Bernard (dua, kanan) sambil disaksikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) dan Duta Belgium ke Malaysia, Pascal Gregoire (tiga, kanan) pada majlis menandatangani Perjanjian Pembelian di antara CSSB dan Oleon di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam pada 5 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Rancangan Selangor 1 bakal dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual berlangsung pada 25 Julai.

Selain perancangan negeri melaksana pembangunan yang lebih rancak dan teratur, Amirudin juga akan membentangkan kawasan pembangunan yang baru termasuk projek-projek bertaraf antarabangsa.


Pengarang :