KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pelajar Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional dan Tingkatan Enam diberi pelepasan pada 17 hingga 21 November ini untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketetapan itu selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh hari pengundian PRU15 pada 19 November.
“Tempoh pelepasan yang diberikan ini adalah bagi membolehkan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing,” menurut kenyataan itu.
KPM turut memaklumkan ketetapan itu juga sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1 Disember 2021 dan berkuat kuasa mulai 15 Disember tahun sama.
Semua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain, menurut kenyataan itu. – BERNAMA