KLANG, 28 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menampilkan calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan mengambil kira faktor tempatan dan boleh memberi kemenangan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibuat menerusi perbincangan bersama presiden dan timbalan presiden.
“Malam ini pengumuman akan dibuat secara keseluruhannya dan bukannya posisi saya untuk umumkan. Namun, sebagaimana disebut strategi utama adalah kemenangan dan kita fikirkan calon yang berkualiti dan berprestasi.
“Calon dibincang bersama presiden dan timbalan dengan mengambil kira elemen tempatan dan mampu memberi kemenangan kerana Selangor negeri yang sangat terbuka serta semua boleh beri khidmat,” katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan sistem Smartbox Selangor yang dibangunkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini, hari ini.
Malam ini, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai calon bertanding pada PRU15 di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya Taman Kosas, Ampang jam 8.30 malam.