Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menawarkan perkhidmatan rundingan doktor menerusi aplikasi Doctor Anywhere khusus kepada pengundi kawasan tersebut. Foto Facebook Rajiv Rishyakaran
ADNSELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar khidmat runding bersama doktor secara maya, caj serendah RM15

SHAH ALAM, 17 FEB : Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menawarkan perkhidmatan rundingan bersama doktor secara maya menerusi aplikasi ‘Doctor Anywhere’ dengan harga serendah RM15.

Wakil rakyatnya R Rajiv berkata kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan berdaya digital bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan pada harga berpatutan.

“Perkhidmatan ini khusus untuk warga DUN Bukit Gasing. Individu kurang berkemampuan (B40) pula akan mendapat harga subsidi RM5 untuk satu sesi rundingan dalam tempoh beberapa minit dengan doktor.

“Program ini bertujuan meringankan beban pesakit memandangkan satu sesi rundingan dengan doktor di klinik amat mahal sehingga lebih RM60.

“Ia belum lagi termasuk dengan kos untuk kita ke klinik, menunggu giliran dan pulang semula ke rumah semua itu mengambil masa yang lama,” katanya menerusi Facebook.

Rajiv menjelaskan selepas rundingan bersama doktor, pesakit boleh memilih untuk membeli ubat menerusi aplikasi atau farmasi kegemaran mereka dan dihantar ke kediaman dalam tempoh sejam.

Pengundi Bukit Gasing boleh memuat turun aplikasi menerusi pautan https://doctoranywhere.page.link/MY-download-link dan mendaftar nombor kad pengenalan.

Manakala, warga B40 boleh mendaftar menerusi https://dranywhr.my/bghealth-form. Sistem ini mengambil masa kira-kira tujuh hari bekerja untuk mengemas kini harga bagi penduduk yang layak mendapat subsidi.

Orang ramai boleh melayari doctoranywhere.my/bukitgasinghealth untuk maklumat lanjut.


Pengarang :