BUDAYARENCANA

Hikayat sebuah rumah songsang

Oleh Hamizun Syah

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

AL-KISAH di kawasan perumahan Taman Jasa tersergam sebuah kediaman agam. Dari pandangan luar tidak banyak berbeza. Tetapi di dalamnya. Ya, di dalamnya! Terdapat tujuh ekor katak melekat di muka siling. Dua ekor ular menjalar dengan lidah bercabang. Sebelas ekor beruk bergayut antara kambi-kambi siling. Semua binatang itu kaku di rumputan yang terhampar ke seluruh siling ruang tamu, dapur, bilik-bilik dan tandas. Tetapi sekarang ini kediaman agam peninggalan Cikgu Zamri itu berdepan ancaman besar yang tidak wajar.

Sayugia itu Zawiyah masih ingat kata-kata seorang tetangga: “Wahai, Zawiyah! Belum pernah kutemui ruang dalam rumah aneh begini. Permaidani rumput terhampar dan haiwan liar berkeliaran di silingnya.”

Sebenarnya tiga orang juru reka-hias dalaman rumah dipanggil untuk tujuan tersebut. Tiga ahli kimia diupah mendapatkan kaedah membikin simen biru-langit dan putih-awan yang tidak memberikan kesan mudarat pada kulit kaki. Lima orang tukang rumah bersama tiga pelukis handalan bekerjasama meratakan simen biru- dalam pembentukan citra langit-awan menyeluruhi lantai kediaman itu.

Sayugia itu berkata seorang tetamu lain: “Engkau tahu, Zawiyah! Setiap kali masuk rumah ini aku seperti bersiar di angkasa.”

Manakala mengingatkan semua itu Zawiyah duduk-duduk di ruang tamu menunggu pulang dua orang anaknya, Zuraida dan Zaim. Terimbau sejak usia belasan dua-beradik itu membesar sebagai yatim-piatu. Banyak suka-duka tatkala Zawiyah membesarkan mereka sementara dia hanya petugas am di Jasa Klinik Haiwan; milik swasta. Zuraida sudah dewasa, perawan nan menawan. Sementara Zaim pula seorang Timbalan Penguatkuasa Kota Jasa. Selama bekerja anak-anaknya sibuk dan jarang menjenguk. Selama itu siang-malam Zawiyah bertemankan sunyi. Sesekali sanak-saudara atau tetangga ada bertandang. Selepas bersara Zawiyah tekad memperuntukkan wang simpanannya juga wang tabungan Cikgu Zamri untuk mengubah-suaikan ruang dalaman rumah. Sehingga sesiapa sahaja yang pertama kali bertandang pasti tergumam dan tergamam. Seakan bumi di atas dan langit di bawah.

Selain itu juga lampu-lampu berbentuk bintang besar-kecil melekat di muka dinding. Ada berburuj Belantik, berburuj Kala Jengking dan berburuj Silang Selatan. Di dinding sebelah barat terpasang sebiji lampu bulat besar. Apabila menyala seolah-olah matahari sedang terbit dari barat ke timur. Beberapa tiang berwarna mendung berselang-selikan titis hujan naik ke siling.

Maka seorang teman kepada Zuraida pernah berkata sambil tercangak-cangak: “Rumah ini terbalik! Dunia dekat kiamat!”

Sekonyong-konyong semua kenangan melurut ke lantai ala-langit. Zawiyah meneguk sedikit kopi tersedia di meja depannya. Tatkala meletakkan semula cangkir kopi itu. Serentak ingatannya ke kata-kata teman kepada Zuraida. Kata-kata itu kata keramat Cikgu Zamri. Ya, kata keramat arwah suaminya! Seorang yang patuh aturan ketika di sekolah ataupun di rumah. Tatkala hayat suaminya lebih gemar membelek akhbar, majalah dan buku-buku. Tidak berlepak di lepau tetangga atau di warung-warung seperti ramai lelaki lain.

Arakian itu tidak hairan suaminya cepat membawa balik berita pelik dari dalam negeri atau luar negara. Antaranya tentang seorang budak berbangsa Jawi yang belum petah tetapi boleh membuat air penawar mengubati berbagai penyakit. Begitu juga berita seorang pemuda yang mabuk teruk sanggup memenggal bapa kandung. Begitu juga berita tentang seorang isteri mencincang tubuh lakinya sehingga ajal.

“Dunia songsang! Kiamat sudah dekat!” Cikgu Zamri menutup ceritanya.

Manakala Zawiyah terbayang-bayang akan tingkah Cikgu Zamri mundar-mandir di ruang tamu. Suaminya menggeleng-geleng memberitahu tentang seorang duda berjanggut sehasta mengakui Nabi dan punya ramai pengikut. Disampaikan tentang seorang ibu tunggal menyatakan kehamilannya tanpa laki setaraf kehamilan ibu kepada Isa Al-Masih dan ramai yang mempercayainya. Sambil terharu pada perkara-perkara yang jelas terpesong namun tetap punya pengikut tersendiri.

“Dunia songsang! Kiamat sudah dekat!” Cikgu Zamri menamatkan rungutannya.

Tidak semena-mena deru angin luar menembusi jendela berbentuk bulan sabit menyentuh rambut Zawiyah yang sudah banyak berwarna asap. Beberapa hari kebelakangan ini Zuraida dan Zaim kerap pulang. Bukan saja-saja pulang. Mereka pulang demi mempertahankan kediaman ini. Zawiyah meneguk secangkir kopi yang sudah pun suam.

Sementelah Zawiyah terus menyemat kata keramat arwah suaminya yang bagaikan azimat. Setiap kali sampai berita banjir besar di Mekah atau pokok mengeluarkan darah atau anak kambing berkaki lima malah lain-lain aneh lagi. Bauran sahih dan fitnah menular secara lisan. Lambakan cerita-cerita yang menyimpang daripada ajaran agama, menyanggah resam bangsa, tergelincir daripada ketertiban semesta dan terbabas daripada asas manusiawi. Merebak tanpa batasan. Kata keramat suaminya serta-merta menerjah kotak ingatnya; “Dunia songsang! Kiamat sudah dekat!”

Arakian terlalu lama kesunyian diulit juga rasa kehilangan lantas Zawiyah tercetus ilham membawa kata keramat arwah suaminya masuk kediamanya. Selain daripada ini Cikgu Zamri tidak mewasiatkan wang berjuta atau harta belanar. Kata keramat arwah itulah azimat malah satu-satunya amanat yang ada. Zawiyah berhasil membalikkan tata-hias alam semula jadi ke kediaman ini.

Maka selepas bertahun disebut-sebutnya orang dekat-jauh, serata pelosok rimba merebak ke ceruk sungai akhirnya ke pengetahuan pembesar-pembesar dan sampai ke Atasan Perdana. Ramai kerabat luar-dalam negara ingin menyaksikan dengan mata kepala sendiri hiasan songsang yang menjadi bualan buana. Beberapa minggu lepas Pihak Kuatkuasa Budaya Dan Agama mengutuskan lima orang wakil bersemuka dengan Zawiyah.

“Maaf, Puan! Susunan songsang dalam rumah ini mesti dipadamkan secepat mungkin. Citra dalam rumah ini seperti mempersendakan alam semula jadi.” Sebut ketua kepada kumpulan wakil itu.

“Kami juga minta maaf! Kami tidak membenarkan sesiapa menjahanamkan ilham ibu kami di kediaman pusaka ayah kami.” seru Zaim tidak marah tetapi jelas tegas.

“Salah besar menderhakai pihak Atasan Perdana. Lagipun bukan rumah ini mesti diruntuhkan. Cuma mesti dihapuskan citra songsang di ruang dalamnya.” suara ketua itu melampau-lampau.

“Dengar semua! Saya akan berurusan dengan pihak Atasan Perdana dan menerangkan susunan dalam rumah ini tidak bercanggah dengan mana-mana fahaman atau anutan.” Lembut suara Zuraida yang mengenakan pakaian rasmi seorang pegawai penting di Jabatan Keadilan Kota Jasa.

“Terserah! Jangan sampai Gerakan Atasan terpaksa bertindak meruntuhkan seluruh rumah ini.” separuh ugut pula ketua itu.

Sayugia terdengar derum kenderaan para wakil itu memasuki perkarangan kediamannya. Zawiyah segera teringat janji mereka akan ke sini semula untuk memastikan arahan sebelumnya dituruti. Bukan senang seseorang itu hendak menerima sebalik setiap songsang masih ada kebaikan. Bukan semua songsang petanda kiamat. Maka beruntung mereka yang melihat hakikat tersirat pada sesuatu kejadian. Tiada yang sia-sia!

Seandainya para wakil itu berkeras. Zawiyah juga tidak akan berlembut. Walaupun perlu tercedera Zawiyah pasti mempertahankan hasil ilhamnya menghiasi kediaman pusaka ini. Zuraida dan Zaim tentu di pihaknya. Zawiyah tenang menghabiskan baki secangkir kopi.


Pengarang :