Seramai 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dihantar ke selatan Turkiye pada 6 Februari bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pasukan SMART ke Turkiye berpengalaman, miliki kepakaran dan penuhi piawaian antarabangsa

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Turkiye adalah pasukan berpengalaman dan mempunyai keupayaan yang memenuhi piawaian antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Meor Ismail Meor Akim berkata pasukan itu mempunyai kepakaran yang lengkap dengan penglibatan 60 anggota SMART, enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Ini melengkapkan komponen pasukan. Kepakaran perubatan daripada anggota APM manakala Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) serta Unit Anjing Pengesan (K-9) daripada JBPM,” katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan pasukan itu turut membawa segala peralatan yang diperlukan dari Malaysia dan tidak perlu bergantung kepada bantuan atau bekalan Kerajaan Turkiye.

Katanya sebahagian besar peralatan antaranya peralatan operasi, telekomunikasi, penjana elektrik serta pakaian bersesuaian telah diterbangkan menggunakan penerbangan komersial disediakan Kedutaan Turkiye dengan kerjasama Wisma Putra, manakala sebahagian lagi akan menggunakan perkhidmatan kargo.

Meor Ismail berkata pasukan tersebut diiktiraf Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016 dan dibenarkan menjalankan operasi SAR secara kendiri dan tidak perlu diuruskan.

“Kita sudah berpengalaman dalam operasi ketika bencana. Kita sudah pergi ke Turkiye pada 1999; Gujarat, India (2000); Acheh, Indonesia (2004); Pakistan (2005); Fillipina (2006) dan Nepal (2015),” katanya.

Katanya mengikut prosedur antarabangsa, pasukan itu akan berada di Turkiye selama 14 hari sebelum mereka perlu pulang ke Malaysia dan sebarang keputusan untuk menghantar pasukan yang baharu akan ditentukan kelak.

Terdahulu, pasukan tersebut tiba di Istanbul, Turkiye pada 11 pagi tadi (waktu Malaysia) dan kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Adana Sakirpasa yang merupakan salah salah pintu masuk disediakan Kerajaan Turkiye bagi bantuan antarabangsa.

Gempa bumi kuat melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi Isnin waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.

Menurut laporan media terkini, tragedi tersebut setakat ini meragut lebih 5,000 nyawa di Turkiye dan Syria.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan angka korban susulan tragedi itu boleh mencecah 20,000 nyawa.

– BERNAMA


Pengarang :