Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Premis luar bandar, pedalaman disasar terima internet berkelajuan tinggi

SHAH ALAM, 25 MEI: Sekurang-kurangnya 432,300 premis terutama berdekatan sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman disasar menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata ia menerusi penyediaan hab gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) oleh Kerajaan.

“Melalui kaedah itu jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluas ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk di kawasan luar bandar dan pendalaman seluruh negara apabila siap kelak.

“Ia menjadikan lokasi terlibat sebagai hab yang menyediakan infrastruktur jalur lebar gentian optik untuk kegunaan sekolah, kawasan perindustrian, premis kerajaan dan penduduk sekitar dengan radius 2.5 km hingga 3 km.

“Fasa satu bagi projek PoP ini akan melibatkan 630 lokasi berhampiran sekolah dan fasa dua pula akan melibatkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara,” katanya pada katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli yang ingin tahu apakah tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital dalam menyelesaikan isu liputan internet yang sering terganggu dan tidak stabil sewaktu musim perayaan, khususnya di kawasan luar bandar.

Nie Ching berkata sebanyak 4,000 lokasi di seluruh negara disasar diaudit sepanjang tahun ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan terus mematuhi Standard Mandatori untuk menyelesaikan masalah kualiti perkhidmatan.

“Setakat semalam sebanyak 1,089 lokasi telah diaudit di seluruh negara,” katanya.


Pengarang :