Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan geran pada penerima dalam Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani 2023 (PJUKM 2023) Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa pada 11 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KUSKOP serah geran niaga lebih RM64 juta kepada 16 usahawan Selangor

SHAH ALAM, 11 JUN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini menyerahkan geran perniagaan bernilai lebih RM64 juta kepada 16 usahawan di Selangor.

Penerima itu terdiri daripada usahawan bimbingan agensi KUSKOP iaitu SME Corporation Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia, UDA Holdings Berhad, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Tekun Nasional.

Serahan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari dan disaksikan Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick menerusi Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM 2023).

Ewon berkata serahan itu bagi memastikan kelangsungan komuniti usahawan dan koperasi di Selangor dalam mendepani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Kita mahukan usahawan dan koperasi yang sedia ada terus berjaya, manakala usahawan baharu pula tumbuh bak cendawan.

“Itulah yang diperjuangkan di bawah Dasar Keusahawan Nasional 2030 untuk menjadikan negera ini sebagai sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030,” katanya ketika berucap menerusi program PJUKM 2023 di Dewan Raja Muda Musa di sini.

Ewon menjelaskan penganjuran PJUKM 2023 bertujuan menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan keusahawanan dan koperasi melalui sesi taklimat dan pameran agensi di bawah KUSKOP.

“Kami berharap pelaksanaan program ini dapat merancakkan semula aktiviti keusahawanan dan koperasi khususnya di Selangor selaras dengan kerangka Malaysia Madani di bawah nilai ‘kesejahteraan’,” katanya.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang itu turut menyajikan pelbagai acara antaranya forum kisah kejayaan usahawan, 38 reruai pameran korporat agensi KUSKOP dan Kerajaan Negeri termasuk jualan makanan, minuman kendera saji serta Jualan Madani Koperasi yang menawarkan jualan barangan keperluan asas.


Pengarang :