AGENDAJENAYAH

Lelaki disyaki bunuh, bakar kekasih didakwa di mahkamah pagi ini

SHAH ALAM, 1 JUN: Lelaki disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar minggu lalu akan didakwa pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata bekas penuntut kolej itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Besar.

Media sebelum ini melaporkan luka akibat tikaman di dada menjadi punca pelayan restoran maut selain dikelar di perut sebelum mayat mangsa dibakar teman lelakinya.

Pada 24 Mei lalu, Agus Salim dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, berkata suspek yang berusia 20 tahun telah membawa mangsa menaiki kereta sebelum bertengkar dengan wanita itu dan bertindak memukul kepalanya sehingga pengsan.

Beliau berkata suspek kemudian menikam mangsa menggunakan pisau dapur serta menoreh perut wanita berusia 21 tahun itu sebelum membakar mayat kekasihnya pada malam kejadian dan kembali semula ke lokasi kejadian keesokan harinya dengan membawa tong berisi petrol untuk membakar mayat itu sekali lagi.

– BERNAMA


Pengarang :