Nurshafila Omar yang mewakili Universiti Pertahanan Nasional Malaysia bergambar bersama pingat yang diraihnya dalam acara boling padang pada Sukan Institusi PengajianTinggi yang berlangsung pada 12 hingga 21 Ogos 2022. Foto Nurshafila Omar
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Liku pandemik tidak padam impian gadis boling padang wakili negara

Oleh FAYSAL AMANI

Jika tidak kerana pandemik Covid-19 melanda dunia, Nurshafila Omar pasti mewakili negara sebagai pemain boling padang.

Sekitar 2020, gadis berasal Kuala Selangor ini mendapat panggilan menyertai pasukan kebangsaan pada usia 19 tahun untuk satu kejohanan antarabangsa.

Bagaimanapun, hasrat beraksi bersama pemenang pingat emas Sukan Komanwel Australia 2018, Siti Zalinah Ahmad tidak kesampaian.

Meski kecewa, beliau menganggap belum rezeki untuknya mewakili negara, namun berazam terus meningkatkan prestasi bagi mendapat panggilan kedua.

Menurut gadis manis itu, dia merasakan perkara yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri di samping memberikannya lebih peluang belajar sebelum beraksi bersama pemain yang jauh lebih berpengalaman.

Atlet boling padang Selangor Haiqal Azami (kanan) dan Nurshafila Omar meraikan kemenangan mereka pada final beregu campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 20 September 2022. Foto BERNAMA

Nurshafila menjadikan kejayaan meraih emas untuk Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Lumpur tahun lalu sebagai pemangkin mengorak langkah dalam sukan tersebut.

“Sebenarnya saya sudah mendapat panggilan mewakili pasukan negara pada 2020, tetapi nasib tidak menyebelahi apabila wabak Covid-19 melanda seluruh dunia.

“Banyak kejohanan terpaksa dibatalkan pada masa itu. Jadi tiada rezeki untuk saya membuat penampilan sulung bersama pasukan negara.

“Memang ada rasa terkilan. Namun, saya mahu memandang ke hadapan. Sasaran saya sekarang adalah untuk mewakili pasukan kebangsaan dan beraksi dalam temasya sukan seperti Sukan Asia serta Sukan Komanwel,” katanya.

Pada SUKMA Kuala Lumpur 2022, Nurshafila yang bergandingan dengan Muhammad Haiqal Azami, meraih emas acara berpasangan campuran menewaskan Perak 15-8 di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Emas untuk Selangor

Mengimbau detik manis tersebut, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menempuh pelbagai cabaran menghadapi temasya berkenaan tatkala negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kejayaan meraih emas dalam penampilan kedua di SUKMA merupakan hasil keserasian dibentuk sebelum negara dilanda pandemik Covid-19 lagi.

“Namun, semasa pandemik kami terpaksa berlatih secara dalam talian termasuk membuat panggilan video. Kejayaan memenangi emas buat Selangor membuktikan segala kerja keras itu berbaloi,” katanya.

Tambah Nurshafila lagi, pada aksi akhir itu dia dapat beraksi dengan tenang sebagaimana setiap kali menyertai kejohanan besar sebelumnya.

“Hairan juga kerana sebelumnya agak gugup tetapi pada SUKMA Kuala Lumpur, saya dapat beraksi dengan tenang, cuma cabaran utama adalah kekejangan kerana terpaksa berdiri selama enam jam bermula suku akhir, separuh akhir dan akhir.

“Masa rehat cuma 15 minit, tetapi saya kuatkan hati. Dengan sokongan rakan sepasukan, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Bercerita mengenai detik mula ‘jatuh cinta’ terhadap sukan boling padang, pelajar jurusan Sarjana Muda Sains Sukan itu menjelaskan segalanya bermula di bangku sekolah menengah.

“Saya mula bermain boling padang di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Permatang, Kuala Selangor. Lama-kelamaan timbul minat sehingga mewakili daerah pada Sukan Selangor (SUKSES) serta menjadi pelapis negeri pada usia 13 tahun.

“Kali pertama beraksi di temasya SUKMA pada 2018 di Perak tetapi hanya layak ke suku akhir dalam kategori (berpasangan) campuran.

“Hasrat mewakili Selangor pada SUKMA di Johor pada 2020 tidak kesampaian apabila ditunda akibat pandemik, namun semuanya saya anggap cabaran sebagai seorang atlet,” katanya.

 

 


Pengarang :