Umat Islam bersembahyang di Masjidil Haram semasa ziarah haji tahunan di Mekah, Arab Saudi pada 8 Ogos 2019. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANAWAWANCARA

Selangor beri insentif, belanja lebih RM13 juta bantu 26,000 jemaah haji

OLEH ALANG BENDAHARA

SHAH ALAM, 27 JUN: Selangor satu-satunya negeri yang menyediakan Insentif Haji Muassasah kepada jemaah haji.

Lebih RM13 juta diperuntuk bagi menjayakan program tahunan sejak 2017 melalui pembiayaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 26,000 jemaah.

Mereka yang tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) layak menerima wang tunai RM500 setiap seorang.

Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kepentingan Rukun Islam kelima itu meringankan beban jemaah dalam menampung kos mengerjakan haji yang meningkat hampir 10 peratus sejak 2021.

Kos pada tahun berkenaan hanya RM22,900 seorang sebelum naik kepada RM28,632 pada 2022 manakala tahun ini pula, perbelanjaannya RM30,850 seorang tanpa subsidi kerajaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Melalui Bantuan Kewangan Haji yang disediakan Tabung Haji, kos bagi B40 ialah RM10,980, M40 (RM15,980) dan T20 (RM30,850).

Insentif Haji Muassasah yang terhenti pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19 diteruskan pada 2022, malah bantuan ditambah baik melalui pemberian kit syifa kepada jemaah.

Kit berkenaan mengandungi ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir yang melibatkan peruntukan RM1.653 juta.

Kemudahan tersebut disediakan kepada jemaah beralamat di Selangor atau telah mendaftar haji di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji di Selangor.

Jemaah yang kad pengenalannya beralamat di luar Selangor tetapi menetap di negeri ini juga boleh memohon dengan mengemukakan dokumen sokongan.

Pemohon juga perlu mendapat pengesahan tawaran menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji negeri Selangor.

Permohonan boleh dibuat di mana-mana pejabat Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Berikut reaksi penerima Insentif Haji Muassasah yang ditemui Selangorkini antara Jun hingga September 2022:

“Skim ini baik dan sangat bersyukur bila dapat. Kami harap sumbangan ini akan diteruskan pada masa akan datang. Ini akan bantu bakal jemaah lain,” Mohd Ghazali Mohd Yunos dan isteri, Nazha Mohamed Arip, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

“Bantuan ini akan digunakan untuk keperluan harian memandangkan saya masih belajar. Terima kasih kerana meraikan jemaah,” Muhammad Firdaus Shamsaimon, 23.

 

 

“Selepas dapat surat tawaran dan tarikh penerbangan, kami terus mohon Insentif Haji Muassasah. Kami hargai sumbangan Kerajaan Negeri kepada bakal jemaah,” Ramlan Sulaiman, 56.

 

 

“Saya turut berterima kasih kepada MBI yang sudi menghulurkan bantuan kepada saya, sekurang-kurangnya boleh tampung perbelanjaan di sana nanti,” Shahidi Hamid, 56.


Pengarang :