Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bergambar bersama peserta program pemeriksaan mammogram dan pap smear percuma sebelum bertolak ke Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, (NCSM) Kuala Lumpur pada 2 Jun 2023. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze
ADNSELANGOR

80 wanita DUN Subang Jaya jalani saringan kesihatan, kesan awal barah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 7 JUN: Seramai 80 penduduk wanita sekitar Subang Jaya menjalani pemeriksaan mammogram dan pap smear percuma di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, (NCSM) pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata program dianjurkan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) USJ 6.

“Pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Dengan menganjurkan lebih banyak program saringan kita mampu mewujudkan negara sihat, iaitu negara yang produktif.

“Ikuti Facebook PWB Subang Jaya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai program berkenaan,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan program Selangor Saring antara enam inisiatif diperkenal khusus untuk rakyat negeri ini bermula daripada saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperkenal Selangor Saring dari Mei hingga September melibatkan peruntukan RM3.4 juta bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal.

Menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat, program itu berjaya memanfaat lebih 45,000 peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dengan 4,809 individu disaran mendapat rawatan lanjut.

Selain saringan fizikal, saringan berkenaan turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan Selangor Saring di setiap penganjuran Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) dan pada fasa ini beberapa saringan lain ditambah antaranya pemeriksaan gigi, telinga dan mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :