Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni tetamu yang hadir pada majlis jamuan sempena Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Shah Alam pada 30 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB hargai komitmen penjawat awam, cekap tadbir negeri selepas DNS bubar

SHAH ALAM, 30 JUN: Dato’ Menteri Besar menghargai komitmen penjawat awam mengurus pentadbiran dengan cekap selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) dibubarkan pada 23 Jun.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan semua berjalan lancar seperti sedia kala dan tiada perkara yang memerlukan tindakan luar biasa sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya ucap terima kasih kepada penjawat awam yang dapat meneruskan pentadbiran dengan cekap dan kemas dalam tempoh seminggu ini,” katanya ditemui pada jamuan Aidiladha di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis jamuan sempena Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Shah Alam pada 30 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 24 Jun, beliau berkata pentadbiran Selangor berfungsi sebagai kerajaan sementara bagi memastikan tatakelola, ketelusan dan kebertanggungjawaban dipelihara walau DNS dibubarkan.

Menurut Amirudin, kerajaan sementara penting bagi memastikan program dan dasar negeri terutama sistem perkhidmatan kerajaan tetap berjalan dengan efisien.

10 hari sebelum itu, Amirudin turut menyeru penjawat awam negeri ini berganding bahu supaya dapat meneruskan kesinambungan dan kemakmuran Selangor.

Dewan Negeri secara rasminya dibubarkan pada 23 Jun untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Selain Selangor, lima lagi negeri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah Pulau Pinang,
Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN yang dijangka Ogos.


Pengarang :