Tokoh Ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan Kuliah Dhuha Talaqqi Kitab Turath Islami (Kitab Mawaqif al-Marjan) di Masjid Negeri Shah Alam pada 7 JULAI 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
SELANGOR

200 peserta hadir majlis talaqqi ulama Pattani, kupas isu tafsir al-Quran

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 7 JULAI: Lebih 200 peserta menghadiri hari terakhir kuliah tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni di Masjid Negeri di sini, hari ini.

Turut serta dalam kuliah sempena Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami itu ialah Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Majlis mulai jam 9.30 pagi itu dimulakan dengan alunan zikir diikuti kuliah oleh Baba Ismail bertajuk al-Quran Muhkamat dan Mutasyabihat yang diambil dalam kitab Maqawif al-Marjan karya beliau sendiri.

Dalam kuliahnya, Baba Ismail menekankan orang yang tidak berilmu haram mentafsir al-Quran.

“Al-Quran ini ada ayat muhkamat (ayat yang jelas maksudnya) dan ada ayat mutasyabihat (ayat yang samar maknanya). Jadi hanya ulama dan mereka betul-betul ahli layak mentafsir al-Quran,” ujar beliau.

Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan 20 Mei lalu serta dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Sebelum ini Baba Ismail pernah menghuraikan kitab karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam majlis prapelancaran festival turath di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar pada 1 Mei.

Festival tersebut bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.

Kerajaan Negeri berhasrat mengembangkan syiar Islam menerusi penganjuran program agama ke setiap daerah dengan menampilkan tokoh-tokoh besar.

Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :