Muhammad Mahmud Al Falah Muhamad Al Khairuddin, 9, dan abangnya Muhamad Ali Al Fateh, 13, membaca buku terjemahan Imam Al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Ilmuan ulung al-Ghazali jadi rujukan umat Islam

Al-Ghazali antara ilmuan ulung dan pemikir Islam dikenali serata dunia. Karyanya dalam tasawuf dan falsafah menjadi sandaran umat dan dipelajari dunia Barat.

Karya agungnya, Ihya Ulumuddin (Menghidupkan Ilmu Agama) terus-menerus menjadi rujukan umat Islam.

Kitab pertama Kitabul ‘Ilm daripada 40 kitab karya tersebut diterjemah ke bahasa Melayu oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menerusi projek Siri Warisan Islami Selangor.

Bersempena dengan projek penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin itu, Kerajaan Selangor bersama beberapa agensi negeri menganjurkan Festival Turath Islami Selangor 2023. Diadakan antara 20 hingga 25 Mei, program menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab dan ulama pondok Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni.

Penterjemah IBDE Hilmi Marjunit

Penterjemahnya, Hilmi Marjunit berkata antara kehebatan al-Ghazali ialah mampu menyampaikan idea kompleks dengan gaya bahasa yang ringkas tetapi dalam lenggok sasterawi yang sederhana.

“Kita dapat mengesan unsur ini dalam hampir kesemua penulisan beliau. Oleh itu, cabaran menterjemah karya ini tentulah dari sudut mengekalkan unsur tersebut semampu yang boleh tanpa menghilangkan idea yang ingin disampaikan.”

Ilmuwan itu membuatkan pembaca ingin menghayati al-Quran kerana ia tunjang utama ilmu bagi umat Islam.

Beliau turut membawakan kisah penghayatan ulama terdahulu terhadap al-Quran dalam kehidupan serta cara al-Quran membentuk cara mereka berfikir.

Kedua, al-Ghazali mengupas dengan teliti berkaitan ciri ulama akhirat dan perbezaannya dengan ulama dunia.

“Hal ini bagi saya sangat relevan untuk diketengahkan semula pada hari ini agar masyarakat lebih mendahulukan ilmu dan akhlak agamawan serta pada masa sama tidak mudah terpesona hanya dengan penampilan luaran mereka,” katanya.

Apa berlaku dalam hidup Abu Hamid Muhammad ibnu Muhammad al-Ghazali sehingga mampu mencerakinkan hujah yang mempengaruhi pemikir Islam dan Barat?

Perihal itu dinukilkan sejarawan William Montgomery Watt menerusi bukunya, Muslim Intellectual: A study of al-Ghazali terbitan 1963 yang diterjemahkan melalui geran Kerajaan Negeri.

Terjemahan riwayat hidup al-Ghazali itu, dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd, mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi

Pengarah IBDE Farhan Affandi mengakui hampir tiada buku dalam bahasa Melayu berkisar kehidupan al-Ghazali pernah diterbitkan.

Justeru pihaknya memilih karya Watt kerana beliau sarjana sejarah yang cukup mengenali karya al-Ghazali.

“Buku ini dipilih mengisi kekosongan itu. Karya Watt menarik kerana pengarangnya memberi tumpuan kepada riwayat kecendekiawanan al-Ghazali,” katanya.

Sejak 2016, Kerajaan Negeri menyuntik sejumlah dana setiap tahun bagi menterjemah karya-karya penting dunia dalam pelbagai bidang termasuk Islam, sejarah, politik, falsafah, sastera dan seni.

Dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan kini Media Selangor, IBDE sebelum ini sudah menterjemah beberapa karya al-Ghazali. Berikut buku-buku terjemahan karangan ilmuan Islam itu:

Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam

Riwayat sahih menyatakan, beliau menyiapkan kitab ini dua minggu sebelum meninggal dunia.

Selain memerihalkan kebaikan, Hujjatul Islam al-Ghazali juga membahaskan pintu-pintu kekacauan dalam ilmu kalam.

Buku ini berisi penghujahan sekitar ilmu kalam dan tegahan ke atasnya.

Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik

Takfir, atau kafir-mengkafir, antara penyakit membawa kemunduran masyarakat Islam berabad lamanya.

Melalui buku Faysal al-Tafriqah baina al-Islam wa al-Zandaqah, al-Ghazali dengan keluasan wawasan pemikirannya memberi takrif jelas kepada takfir.

Beliau meletakkan batasan untuk tidak mengeluarkan orang Islam, walau apa pun kecenderungannya di dalam perpecahan mazhab, daripada lingkungan Islam selagi ia bersaksi atas keesaan Tuhan dan kenabian Muhammad.

Buku ini antara tulisan al-Ghazali yang paling banyak dibaca.

Al-Mustasfa: Intipati Ilmu Usul Fiqh

Antara karangan terakhir al-Ghazali sebelum beliau meninggal dunia pada 505 Hijrah. la kitab warisan langka membincangkan akar disiplin ilmu Usul Fiqh.

Tidak sekadar membahaskan perkara pokok dalam buku, al-Ghazali juga menjawab fahaman berbeza daripada kelompok selain Ahli Sunnah Wal Jama’ah berkaitan akidah, fiqh serta persoalan falsafah.

Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad

Sebagai karya penting melanjutkan wacana Ilmu Kalam, ia terkandung jawapan ampuh kerancuan pemikiran berhubung ketuhanan dan intisari agama.

Hujah terhasil daripada tafsir al-Quran dan hadis menerusi beberapa bidang ilmu, seperti mantik, bahasa dan etika perdebatan.

Buku ini menjadi salah satu sukatan pelajaran pengajian Ilmu Kalam, iaitu sebagai karya peringkat pertengahan di beberapa institusi pengajian Islam tradisional.

Penyelamat Daripada Kesesatan

Al-Munqidz min al-Dhalal antara karya al-Ghazali paling banyak dibaca.

Kita mengetahui kehidupan beliau menerusi buku ini. Penulisan Al-Munqidz seolah-olah seperti autobiografi imam besar itu.

Menerusinya, al-Ghazali bercerita perkembangan intelektual dan kerohanian beliau serta mengemukakan hujah pembelaan terhadap tasawuf sebagai jalan ke pengetahuan tertinggi.


Pengarang :