Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Manisnya telaah Ihya, ribuan peserta hadir Festival Turath

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Bagi pencinta ilmu agama khususnya kitab Imam al-Ghazali, kesempatan mendalami Ihya Ulumuddin daripada ulama tersohor Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab pasti tidak boleh dilepaskan.

Festival Turath Islami Selangor selama seminggu bermula 20 Mei menggamit ribuan peserta Asia Tenggara, khususnya warga tempatan, hadir berguru dengan bekas mufti besar Mesir itu dan barisan ilmuwan terkenal.

Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni (ulama pondok Pattani, Thailand) menghuraikan kitab agung al-Ghazali itu pada 1 Mei sewaktu majlis prapelancaran yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara Dr Said Aqil Siradj (pemimpin Nahdlatul Ulama, Indonesia), Baba Haji Ghazali Ahmad al-Fathoni (juga dari Pattani), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar (Malaysia) dan Datuk Dr Muhammad Nur Manuty (Malaysia) membentangkan isi pemikiran al-Ghazali.

Julung kali diadakan dan mendapat sambutan besar, festival itu bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Orang ramai mendengar syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 oleh Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Peserta duduk rapat-rapat sambil menadah kitab, mengambil catatan, berzikir dan berselawat dalam lapan program utama di Shah Alam, khususnya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Hotel Concorde.

Bekas penuntut Universiti al-Azhar dan pesantren mengakui gembira, sekali gus mengimbau memori indah menadah kitab kembali setelah beberapa tahun menamatkan pengajian.

Bagi peserta yang mengkagumi Dr Ali Jum’ah pula, peluang keemasan itu digunakan untuk bertemunya dengan lebih dekat dan mengukuhkan ilmu pengetahuan keagamaan berasaskan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Rasa bertuah

Peserta bukan lulusan al-Azhar atau belum terdedah dengan pengajian tradisi pula berasa amat bertuah kerana julung kali dapat menuntut secara berdepan dengan ulama Mesir itu.

Ada juga peserta, termasuk dari luar negara, yang sanggup mengambil cuti kerana enggan melepas peluang keemasan itu.

Mereka sepakat menikmati syarahan Dr Ali Jum’ah yang padat dan membangkitkan keghairahan umat Islam agar terus berilmu, berpegang kepada al-Quran dan hadis, serta menjaga adab dan akhlak melalui amalan kerohanian.

Ulama ulung Universiti al-Azhar itu cukup arif membicara keperibadian al-Ghazali dengan membentang sejarah dan penyusunan adikarya itu dalam tiga sesi dalam program Daurah Afkar Ihya Ulumuddin pada 20 dan 21 Mei.

“Tujuan beliau mengarang kitab ini apabila beliau melibat ibadah orang Islam (zaman al-Ghazali) dilihat terkeluar daripada kebiasaan. Hilang sifat zuhud. Hilang penghayatan kepada urusan agama.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jadi ia (Ihya Ulumuddin) satu projek membangkitkan semula ilmu-ilmu agama. Perkataan ‘ihya’ seolah-olah ada kematian atau dilupakan.

“(Jadi perlu) kembali kepada Allah untuk mencapai matlamat (ibadah). Jaga hati kita dengan Allah, takut kepada Allah. Ibadah sebagai cinta dan kasih kepada Allah,” kata Dr Ali Jum’ah memulakan syarahan itu pada hari pertama.

Kitab Ihya Ulumuddin dibahagikan kepada empat bahagian iaitu ibadah, muamalat, sifat tercela (al-muhlikat) dan terakhir sifat terpuji (al-munjiyat). Setiap bahagian ini mengandungi 10 kitab.

Dr Ali Jum’ah mengupas isi utama tujuh bab awal kitab Ihya Ulumuddin antaranya keutamaan ilmu, akidah, rahsia bersuci, solat, puasa, zakat dan haji dalam kerangka dalam pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Program lain yang disusun termasuklah Seminar Penghayatan Ihya Ulumuddin pada 22 Mei, Munaqasyah Ilmiah (24 Mei) dan Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah (24 Mei) bagi mendekatkan peserta dengan sumber turath Islam.

Mengijazah hadis

Selain karya al-Ghazali, Dr Ali Jum’ah turut menghuraikan dua kitab tauhid, al-Tariq Ilallah dan al-Kharidah al-Bahiyyah pada 18 Mei. Beliau juga memimpin Majlis Zikir Darul Ehsan (22 Mei) dan menghurai sifat Nabi serta mengijazahkan hadis musalsal pada keesokannya.

Pada 28 Mei, ketika melancarkan buku terjemahan Imam Al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Amirudin mengumumkan Siri Warisan Islami, projek penerbitan Ihya Ulumuddin berbahasa Melayu.

Peserta bergambar bersama bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah selepas program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Wartawan Selangorkini menemubual peserta yang mengikuti Festival Turath Islami Selangor pada 20 hingga 25 Mei lalu:

“Saya amat berpuas hati dengan penganjuran acara ini. Moga ia dapat diteruskan. Saya kira majlis ilmu seperti ini amat bernilai kepada insan seperti saya dan rakan-rakan.”
Mohd Fuad Yussof, 37, peserta (Thailand) Seminar Penghayatan Ihya Ulumuddin

“Imam al-Ghazali merupakan idola saya. Saya datang ke sini kerana pengisian program yang menceritakan mengenai beliau.”
Sayid Muhammad Rosli Sayid Mohd Zain Asagoff, 23, peserta (Indonesia) Seminar Penghayatan Ihya Ulumuddin

“Cara didikan beliau amat berbeza dan banyak beri motivasi kepada pelajar. Beliau mempunyai pemikiran turath dan memberi penekanan (berguru) dengan ulama sendiri bukannya diri sendiri tanpa berguru.”
Sofea Hany Natasha Muhamad Azhar, 23, peserta Daurah Afkar Ihya Ulumuddin

“Hampir 10 kali saya berpeluang ikuti majlis ilmunya yang diadakan secara terbuka di masjid (di Mesir). Mengikuti majlis ilmunya sangat menarik dan walaupun boleh mendengar di dalam talian, (tetapi) ia tidak sama.”
Nurul Afifah Ali, 27, peserta Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah

“(Program ini) menjadi sumber pelajaran sebagai muslim. Ilmu makanan syurga dan biarpun sebelum ini ada belajar kitab Imam al-Ghazali tetapi aliran ilmunya berbeza kerana gurunya berlainan.”
Nureszien (satu nama), 32, peserta (Indonesia) Daurah Afkar Ihya Ulumuddin


Pengarang :