Ribuan penyokong menghadiri majlis pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rafizi: Semua calon KEADILAN bertanding PRN akan isytihar harta

SHAH ALAM, 23 JULAI: Semua calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang dipilih bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan mengisytihar harta bagi memperoleh watikah.

Timbalan presidennya berkata calon juga perlu menandatangani bon aku janji, yang menjadi kelaziman parti itu setiap kali pilihan raya supaya tiada isu ditimbulkan segelintir pihak.

“Saya tahu akan ada yang bising berkaitan pengisytiharan harta. Saya malas hendak cakap sebab kita sebenarnya (isytihar harta) jauh lebih awal sejak 2018 lagi.

“Soal ini sepatutnya tidak timbul sebab ia jadi darah daging dan proses kita. Sebab itu kita umum calon seminggu sebelum (penamaan) kerana siapa tidak buat, tidak dapat watikah,” kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berucap pada majlis pengumuman calon PRN parti itu di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berucap di hadapan ribuan pemimpin dan penyokong parti pada majlis pengumuman calon KEADILAN PRN oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Rafizi turut mengingatkan calon supaya meningkatkan suasana kempen di kawasan masing-masing dalam tempoh kurang seminggu sebelum penamaan calon.

Menteri ekonomi itu juga tidak teragak-agak untuk meminta Anwar menarik semula watikah pencalonan sekiranya calon terbabit gagal berbuat demikian sepanjang tempoh berkenaan.

“Kempen perlu dipimpin calon, jangan bergantung kepada pimpinan kanan kerana anda kini memikul amanah itu. Kita akan pantau rapat.

“Saya dan Anwar serta rakan pimpinan pusat akan terus mengolah naratif kempen di peringkat pusat tetapi penentu menang itu juga berada di bahu calon,” katanya lagi.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :