Terjemahan diterbit Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd.
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tegas dalam kasih, cendekiawan singkap sisi berbeza Umar al-Khattab

Pemerintahan Saidina Umar al-Khattab dianggap zaman kegemilangan Khulafa ar-Rasyidin. Digelar al-Faruq, beliau sahabat Rasulullah SAW yang bijaksana dan tegas. Zamannya menyaksikan banyak pembaharuan termasuk memperkenal kalendar Hijrah.

Kisah menarik termasuk sisi peribadi sahabat Nabi SAW itu dirakam cendekiawan Mesir Abbas Mahmud al-‘Aqqad dalam karya ‘Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang. Teks asalnya berjudul ‘Abqariah Umar.

Sempena Maulidur Rasul, wartawan Nadiah Zamlus berkongsi pengalaman Marwan Bukhari A Hamid menterjemah buku itu menerusi temu bual pada 22 September. Terjemahan diterbit Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd.

__________________________________________________________________________________________________________

Mengapa pilih tulisan ‘Abbas Mahmud al-‘Aqqad?

Saya meninjau beberapa karangan yang menulis tentang Saidina Umar. Akhirnya saya memilih buku al-‘Aqqad kerana dua alasan utama. Pertama, al-‘Aqqad ialah salah seorang ilmuwan dan sasterawan terkemuka abad ke-20 yang mengarang tentang sirah Nabi Muhammad SAW dan sahabat utama Baginda termasuklah Saidina Umar al-Khattab. Kedudukan al-‘Aqqad sebagai ilmuwan besar menarik saya untuk membaca karangannya ini.

Kedua, saya melihat buku ini mengandungi isi yang berbeza dengan sesetengah buku bergenre riwayat hidup yang lain. Al-‘Aqqad tidak sekadar menukil atau bercerita, tapi beliau menekankan analisis termasuk dalam babak-babak kecil.

Kita akan menikmati kedalaman pemikiran, ketinggian sastera Arab, keanekaan perspektif, ketajaman analisis dan perbandingan konteks klasik dan moden. Pembacaan dan rujukan beliau sangat meluas merangkumi Timur dan Barat sama ada beliau nukilkan atau tidak, tapi pembaca yang teliti akan perasan tentang hal ini.

Bagaimana proses menterjemah buku ini?

Asalnya saya ditanya oleh rakan di IBDE tentang cadangan buku tentang Saidina Umar yang sesuai untuk diterbit oleh mereka. Setelah mencadang, akhirnya IBDE meminta saya menterjemahnya.

Meski awalnya agak keberatan kerana beberapa komitmen ketika itu, tapi akhirnya saya menerima. Saya memulakan penterjemahannya pada Ramadan 2022. Tapi tidak banyak sebenarnya yang mampu buat ketika itu. Saya fokus kembali selepas Aidilfitri iaitu hujung Mei 2022 hingga akhirnya siap pada 20 September tahun sama.

Apa cabaran menterjemah karya ini?

Ini kali kedua saya menterjemah karya sasterawan Arab, apatah lagi tokoh seperti al-‘Aqqad. Saya mula menceburi dunia terjemahan sejak 2013, tetapi selama ini kebanyakan terjemahan saya adalah dalam bidang perundangan Islam.

Marwan Bukhari A Hamid

Seorang lagi sasterawan Mesir yang saya pernah terjemah ialah al-Kawakibi, pemikir besar abad ke-19. Bahasa al-‘Aqqad tinggi dan penulisannya agak rumit. Intelektual dari Indonesia, Ulil Abshar ‘Abdalla juga sebut hal sama ketika kami berbual tentang al-‘Aqqad April yang lalu. Sebab itu saya mengambil masa yang agak lama sebelum mendapat rentak dalam menterjemahkan buku ini.

Apa ilmu baharu diperoleh sepanjang menterjemah?

Banyak, antaranya cara memahami sejarah dengan meletakkan diri kita berada dalam sejarah itu, bukannya memahami sejarah dengan kaca mata kita yang sedang hidup di dunia moden. Al-‘Aqqad banyak menekankan soal ini. Antaranya juga mempelajari banyak perkataan baharu digunakan al-‘Aqqad. Sememangnya setiap kali terjemah kita akan belajar kosa kata baharu.

Berapa lama proses terjemahan?

Sekitar lima atau enam bulan sebab sebulan Ramadan saya hanya buat sikit sebagaimana disebut tadi. Tapi selepas itu ada proses suntingan dan baiki struktur ayat yang ambil masa beberapa bulan juga.

Boleh kongsi pengajaran dalam karya ini untuk iktibar?

Apabila disebut nama Saidina Umar, orang kita selalu membayangkan watak tegasnya, malah ada yang menyebut susuk Melayu tertentu sebagai ‘laksana Saidina Umar’ semata-mata kerana sifat tegas, malah juga ‘gangster’. Sebenarnya itu tidak tepat. Ya, Umar berwatak tegas tapi beliau cukup penyayang.

Bak kata al-‘Aqqad, beliau menyembunyikan sifat pengasihnya dengan perisai ketegasan. Selain itu, Umar cukup terkenal sebagai tokoh bijaksana. Sebelum menterjemah buku ini, saya sudah membaca beberapa buku tentang kecerdasan dan kehebatan ijtihad Umar.

Al-‘Aqqad juga menekankan aspek ini dalam bukunya itu. Umar berani mendatangkan pandangan baharu dan kreatif dalam berijtihad. Beliau memahami arahan al-Quran dan sunnah bukan sekadar secara literal, tapi mementingkan objektif dan hikmah daripada arahan tersebut. Satu lagi, beliau terkenal dengan keadilannya termasuk kepada anakandanya sendiri. Banyak contoh terdapat dalam buku ini. Jadi, tidak betul kalau Umar hanya dikaitkan dengan sifat ‘keras’.

Ada bab yang beri kesan emosi?

Babak yang paling beri kesan emosi ialah saat Umar mendapat berita tentang kewafatan Rasulullah SAW. Para sahabat ketika itu sukar sekali untuk menerima kenyataan bahawa Rasulullah SAW yang mereka cintai dan sanjungi telah wafat. Umar juga cuba menepis kenyataan ini sehinggakan beliau mengancam untuk mengenakan tindakan kepada sesiapa yang menyangka baginda telah wafat. Kalau kita mahu menghayati babak itu, kita perlu membayangkan diri kita berada di tempat Saidina Umar.

Bayangkan Umar berubah di tangan baginda Rasulullah SAW, Umar perjuangkan baginda saat-saat sukar dan senang, Umar menjadi insan yang sering kehadapan untuk mempertahankan baginda, Rasulullah SAW telah mengubah dan mendidik Umar sejak sekian lama, tapi akhirnya baginda wafat. Berita itu sungguh berat kepada Umar dan para sahabat yang lain.

Bahagian mana paling menarik mengenai Umar?

Saya paling suka bab Umar dan Pemerintahan Moden. Mungkin kerana saya memang memberi perhatian tentang pemikiran politik Islam sejak sekian lama. Al-‘Aqqad mengulas kebijaksanaan politik Umar dan pengajarannya untuk pemerintahan moden.

Menurut al-’Aqqad, kita akan janggal dengan perkara yang kita tidak terbiasa kerana kita hidup dalam ‘kotak zaman moden’, lantas sebahagian amalan pemerintahan yang baik pada zaman silam gagal difahami oleh kita. Contohnya sebahagian tindakan Umar yang dibuat tanpa ada birokrasi dan prosedur seperti zaman moden seperti hukuman setimpal terhadap sebahagian gabenor yang bermasalah.

Hukuman itu terus diberi olehnya demi menegakkan keadilan dan amanah, sedangkan hari ini tidak boleh berbuat demikian melainkan dengan keizinan kerajaan setelah melalui banyak prosedur dan birokrasi.

Mengapa setiap rumah perlu ada buku ini?

Ia buku tentang salah seorang sahabat besar Nabi Muhammad SAW. Buku tentang tokoh bijaksana dan adil yang selayaknya kita baca dan diskusikan agar pengajarannya boleh diteladani dan dikongsikan kepada orang yang berada di lingkungan kita.


Pengarang :